
Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan fasa akhir Monsun Timur Laut ketika ini akan berterusan sehingga pertengahan Mac 2021, dengan taburan hujan yang rendah serta cuaca agak panas.
Sepanjang tempoh cuaca yang agak panas ini, penggunaan elektrik mungkin meningkat.
Sejajar dengan itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyaran agar pengguna kediaman mengamalkan penggunaan elektrik secara berhemah sepanjang tempoh cuaca panas ketika ini, selain pengguna perlu mematuhi arahan duduk di rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Amalan mudah untuk penjimatan
Antara amalan penjimatan elektrik yang mudah dilakukan termasuk:
- Tidak membiarkan pendingin hawa, kipas dan lampu terpasang dalam bilik yang kosong serta mematikan suis peralatan elektrik seperti komputer selepas selesai menggunakannya.
- Memilih alat elektrik berlabel cekap tenaga 4 atau 5 bintang oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) juga membantu menjimatkan penggunaan elektrik di kediaman.
- Menyenggara pendingin hawa yang kerap pula membolehkan ia beroperasi pada tahap optimum serta lebih menjimatkan elektrik. Kotoran pada penapis menghalang edaran udara dan mengurangkan kecekapan pendingin hawa.
- Ketika cuaca panas terik, tindakan menutup tingkap dengan langsir yang tebal boleh menghalang haba daripada masuk dan membebankan pendingin hawa. Semakin kurang beban pada pendingin hawa untuk menyejukkan bilik, semakin rendah penggunaan elektrik;
- Pada waktu malam, hidupkan kipas bagi membantu pengedaran udara di dalam bilik. Suhu bilik akan mencecah tahap yang selesa lebih cepat selepas beberapa jam pendingin hawa dipasang. Tetapkan masa untuk pendingin hawa dimatikan bagi menjimatkan penggunaan elektrik;
- Memanfaatkan cuaca yang panas dengan menjemur pakaian berbanding menggunakan mesin pengering selepas mencuci pakaian;
- Bagi penggunaan alat pemanas air, tekan suis air panas hanya apabila ingin digunakan dan tutup sejurus selesai. Elakkan suis alat pemanas air terbuka tanpa digunakan.
Faedah untuk pengguna meter pintar
Bagi sejuta pengguna yang telah dipasang meter pintar, mereka mendapat kelebihan untuk mengendalikan tenaga dengan efisien dan lebih baik.
Ini kerana meter pintar tersebut menghantar maklumat jumlah penggunaan tenaga elektrik bagi tempoh setengah jam, satu hari dan setiap bulan.
Menerusi maklumat penggunaan yang boleh dipantau melalui aplikasi dan portal myTNB, pengguna meter pintar boleh menyesuaikan amalan penggunaan peralatan elektrik mereka untuk mendapatkan penjimatan.
Untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai langkah penjimatan elektrik dengan bijak ini, sila layari di sini.
RM200 daripada SAVE 2.0
Tahukah anda, terdapat program pemberian e-rebat sebanyak RM200 menerusi program Sustainability Achieved Via Energy Efficiency (SAVE) 2.0, jika ingin membeli alat pendingin hawa atau peti sejuk cekap tenaga (tertakluk kepada terma dan syarat)?
E-rebat ini terpakai untuk pembelian alat pendingin hawa atau peti sejuk yang berlabel cekap tenaga 4 atau 5 bintang oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).
Pembelian boleh dilakukan di kedai atau secara dalam talian melalui platform e-dagang seperti Lazada dan Shopee.
Pengguna kediaman juga disarankan untuk memanfaatkan program yang dianjurkan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dengan kerjasama Suruhanjaya Tenaga dan Sustainability Energy Development Authority (SEDA) sebagai agensi pelaksana.
Syarat kelayakan dan maklumat lanjut penebusan e-rebat SAVE 2.0 boleh didapati di laman web ini.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]