Nenek berusia 110 tahun, masih boleh hafal lagu Perang Dunia ke-2

Nenek berusia 110 tahun, masih boleh hafal lagu Perang Dunia ke-2

Amy Winifred Hawkins menjadi viral apabila cucunya memuat naik sebuah video sambutan ulang tahunnya di TikTok.

Amy Winifred Hawkins, wanita tertua di Wales baru saja menyambut ulang tahun ke-110. (Gambar TikTok)

Wanita tertua di Wales, menyambut ulang tahun yang ke-110 pada 24 Januari lalu. Tetapi apa yang menariknya, dia masih hafal lirik lagu sewaktu Perang Dunia ke-2.

Amy Winifred Hawkins menjadi viral apabila cucunya memuat naik sebuah video sambutan ulang tahunnya di TikTok.

Dalam video tersebut, Amy menyanyikan lagu semasa Perang Dunia ke-2, “It’s A Long Way to Tipperary” oleh John McCormack.

Di hari istimewa tersebut, wanita itu turut diraikan oleh keluarganya dari anak hingga ke cicit yang semuanya tinggal bersama Amy di Monmouth.

Lahir sebagai Amy Evans di Cardiff, dia menghabiskan sebahagian zaman kanak-kanaknya di Newport bersama adik beradiknya yang lain iaitu lima lelaki dan seorang perempuan, Lillian yang juga baru saja meraikan ulang tahun ke-102.

Apabila ditanya apakah rahsia dia dan saudara perempuannya boleh hidup hingga 100 tahun, Amy menjawab sambil berseloroh, “Kami tidak pernah berjumpa doktor.”

Sewaktu muda, Amy adalah seorang penari dan sering melakukan persembahan di dalam negara dengan kumpulan penarinya.

Dia kemudian berkahwin dengan seorang penulis George Hawkins pada tahun 1937 dan tinggal di Newport selama Perang Dunia Ke-2.

Anak tunggalnya, Rosemary, lahir pada tahun 1947, dan cucunya Tamzin dan Hannah, masing-masing lahir pada tahun 1967 dan 1981.

Setelah suaminya meninggal pada tahun 1996, Amy terus hidup sendiri. Tetapi kemudian, pada usia 96 tahun, dia berpindah bersama Rosemary dan menantunya ke Aylburton, Gloucestershire.

Sekarang, Amy tinggal di sebuah rumah ladang di Monmouth, bersama dengan empat generasi keluarganya.

Mengetahui ramai yang menonton video ibunya, Rosemary mengucapkan terima kasih kepada mereka.

“Ini merupakan tahun yang sangat mencabar buat kita dan ibu, dia tidak sabar untuk berjumpa adiknya. Mereka sudah setahun tidak bertemu.

“Selalunya, kami akan mengadakan pesta di pub The Bell di Redbrook, namun tidak untuk tahun ini. Tapi kami merasa beruntung kerana boleh meluangkan masa bersama ibu di rumah,” ujar Rosemary lagi.

Amy kini, lebih banyak menghabiskan harinya dengan duduk di kerusi malasnya, namun masih kelihatan sihat dan bahagia.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected] 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.