Komputer awal Apple-1 keluaran 1976, dilelong di eBay dengan harga USD1.5 juta

Komputer awal Apple-1 keluaran 1976, dilelong di eBay dengan harga USD1.5 juta

Unit tersebut adalah antara baki enam unit yang tidak terjual ketika ia mula-mula dikeluarkan oleh Steve Jobs dan Steve Wozniak pada 1976.

Unit Apple-1 terawal itu sedang dilelong di eBay dalam sarung kayu koa asal, bersama salinan digital manual dan panduan asal, skematik, serta ‘antara muka kaset’. (Gambar eBay)
PETALING JAYA:
Sebuah unit asal komputer awal Apple-1 sedang dilelong di laman lelongan dalam talian eBay dengan harga USD1.5 juta, lebih 2,000 kali ganda harga asalnya ketika mula-mula dikeluarkan pada 1976.

“Apple-1” adalah produk pertama yang dikembangkan dengan jenama Apple oleh pengasas syarikat Steve Jobs dan Steve Wozniak. Sekitar 200 unit Apple-1 dihasilkan di garaj keluarga Jobs di Mountain View, California, dan 175 daripadanya telah terjual.

Krishna Blake dari Amerika Syarikat, yang membelinya pada 1978, dilaporkan Daily Mail sebagai berkata, penjualan model bersejarah pengkomputeran ini adalah ‘benar-benar yang pertama’ untuk eBay.

Unit Apple-1 yang sedang dilelong Blake itu datang lengkap dengan sarung kayu koa asal, menjadikannya satu daripada enam baki unit Apple-1 yang masih utuh, dengan lima unit lain tersimpan dalam koleksi muzium.

Unit lelongan Blake, yang tersenarai sebagai #79 dalam Daftar Rasmi Apple-1, dikatakan berada dalam keadaan terbaik di antara keenam-enam baki unit tersebut, dan telah disahkan asli oleh pakar Apple-1 Corey Cohen pada Ogos 2019.

Blake melelong unit tersebut dalam sarung kayu koa, bersama salinan digital manual dan panduan asal, skematik, serta ‘antara muka kaset’.

Ia juga masih mempunyai perisian asal yang dibekalkan dengan Apple-1, termasuk “Bahasa Asas, Permainan, Ujian Memori Rendah dan Tinggi, Video Ulang Tahun ke-30 dan banyak lagi”, kata Blake, menurut Daily Mail.

Pada Mac 2020, sebuah lagi unit Apple-1 yang berfungsi telah dilelong dengan harga USD458,711 di Boston, namun tanpa sarung kayu asal.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.