Penyakit lelah & pencemaran, selamatkan pendatang Bangladesh dari diusir

Penyakit lelah & pencemaran, selamatkan pendatang Bangladesh dari diusir

Warga Bangladesh itu tidak boleh dihantar pulang ke negara asal kerana tahap pencemaran dianggap boleh membawa maut.

Bangladesh adalah antara negara yang mempunyai kualiti udara terburuk. (Gambar Freepik)

Seorang pelarian dari Bangladesh yang menghidap lelah tidak boleh diusir dari Perancis disebabkan tahap pencemaran di negaranya dianggap mampu membahayakan nyawanya.

Mahkamah Rayuan di Bordeaux memutuskan bulan lalu, penyakit lelah dihidapi lelaki berusia 40 tahun itu mungkin boleh menjadi teruk disebabkan tahap pencemaran di Bangladesh, seterusnya membawa maut.

Pakar percaya ini kes pertama di dunia apabila seseorang diberi hak kekal di negara baharu atas dasar isu alam sekitar, kata peguam pelarian terbabit, Ludovic Rivière kepada Guardian.

“Setahu saya ini kali pertama mahkamah Perancis menggunakan faktor alam sekitar sebagai kriteria untuk kes seperti ini.

“Mahkamah memutuskan, nyawa anak guam saya boleh terancam disebabkan kualiti udara di Bangladesh,” ujarnya.

Lelaki yang tidak dinamakan itu melarikan diri dari Bangladesh atas alasan ditindas dan tiba di Perancis pada 2011.

Beliau tinggal di Toulouse dan bekerja sebagai pelayan restoran sebelum diberi permit pendudukan sementara sebagai rakyat asing yang memerlukan penjagaan kesihatan.

Pada 2017, doktor yang menasihatkan pegawai imigresen Perancis mencadangkan keadaannya ‘boleh dirawat di Bangladesh’ dan dua tahun kemudian pihak berkuasa tempatan mengeluarkan perintah pengusiran terhadapnya.

Mahkamah rendah di Toulouse membatalkan perintah pengusiran itu Jun lalu atas alasan ubat diperlukan lelaki terbabit tidak boleh diperolehi di Bangladesh.

Bagaimanapun, bulan lalu Mahkamah Rayuan di Bordeaux membuat perintah tambahan bahawa dia tidak boleh diusir pulang ke Bangladesh kerana tahap pencemaran di negara asalnya itu mampu membunuhnya.

Mahkamah diberitahu, ubat diperlukan tidak boleh diperolehi di Bangladesh, manakala sistem kesihatan negara itu hanya mampu menyediakan alat bantuan pernafasan waktu malam untuk masalah apnea tidur di hospital.

Mahkamah turut diberitahu ayah lelaki itu juga meninggal dunia akibat penyakit lelah, manakala kapasiti respiratori lelaki terbabit meningkat dari 58% pada 2013 kepada 70% pada 2018 selepas berpindah ke Perancis.

Bangladesh dinamakan sebagai negara ke-179 daripada 180 negara dengan kualiti udara terburuk oleh Indeks Prestasi Alam Sekitar Universiti Yale dan Columbia tahun lalu.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.