
Menurutnya lagi, tiga daripada kumpulan gorila spesies terancam di taman hidupan liar itu menunjukkan gejala virus pernafasan seperti batuk, namun ia tidak begitu membimbangkan malah dijangka akan sembuh sepenuhnya.
“Analisis makmal sampel najis diambil pada Rabu selepas seekor daripada dua gorila yang pada mulanya dilihat mengalami batuk mengesan kehadiran virus itu dua hari kemudian,” kata jurucakap zoo Andrew James.
Keputusan positif itu disahkan Isnin oleh Makmal Perkhidmatan Veterinar Kebangsaan Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA).
Walaupun ujian itu hanya membabitkan seekor haiwan namun, semua lapan gorila terbabit dianggap telah didedahkan dan mungkin dijangkiti SAR-CoV-2, iaitu nama saintifik virus yang menyebabkan Covid-19.
“Kumpulan gorila hidup bersama dalam habitat semula jadi yang diwujudkan di zoo ini, sama seperti dalam keadaan liar. Oleh itu kita perlu mengandaikan – sama seperti bagi sekeluarga manusia bahawa semua gorila telah terdedah,” kata jurucakap zoo itu lagi.
James menambah, pengambilan sampel mukus atau air liur seperti dibuat untuk manusia dianggap akan mendatangkan risiko jika diambil dari gorila berkenaan secara satu persatu.
Gorila tersebut dipercayai dijangkiti virus berkenaan daripada seorang kakitangan zoo yang asimtomatik, walaupun protokol bio keselamatan dipatuhi, seperti ditetapkan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat.
Langkah kawalan jangkitan ketat turut ditetapkan sebelum pandemik berlaku kerana beruk – yang secara biologi mempunyai banyak persamaan dengan manusia – amat sensitif terhadap patogen dibawa manusia tanpa mempunyai imun semula jadi terhadapnya.
Menurut James, mereka tidak tahu kesan virus korona untuk jangka panjang bagi gorila berkenaan, atau simptom tambahan yang mungkin berlaku.
“Selain sesak hidung dan batuk, gorila berkenaan berkeadaan baik. Kumpulan itu masih dikuarantin bersama dan tetap makan dan minum. Kami mengharapkan mereka sembuh sepenuhnya,” kata Lisa Peterson, pengarah eksekutif Taman Safari Zoo San Diego.
Kumpulan gorila di taman seluas 1,800 ekar itu merangkumi lima betina dan tiga jantan, termasuk seekor “silverback” (gelaran untuk gorila tua) bernama Winston yang mungkin berusia 45 tahun.
Sekurang-kurangnya lapan gorila lain dipamerkan di Zoo San Diego berhampiran bagaimana pun tidak terjejas.
Kedua-dua lokasi itu ditutup kepada awam akibat pandemik sejak awal Disember.
“Bagaimanapun, jangkitan terhadap gorila di San Diego ini merupakan kes pertama yang disahkan pada beruk,” kata James.
Gorila adalah anggota keluarga primat digelar beruk besar atau hominid yang turut termasuk cimpanzi, orang utan, bonobo dan manusia.
Virus korona turut ditemui dalam beberapa spesies haiwan liar lain yang berada di dalam zoo termasuk beberapa singa dan harimau di Zoo Bronx, New York, serta empat singa di Zoo Barcelona di Sepanyol.
Virus Covid-19 juga pernah ditemui pada kucing serta anjing peliharaan.
Bulan lalu, USDA berkata ia mengesahkan kes virus korona pertama dalam haiwan liar, iaitu seekor mink, susulan wabak menular di ladang haiwan itu menyebabkan 15,000 daripadanya mati.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]