
Rovelie Zabala, 41, yang sarat mengandung anak yang ke-10, mendukung anak bongsunya sambil memanggil lapan yang lain.
“Carl, Jewel, Joyce…” katanya sebelum seorang daripada kanak-kanak itu menjeling ibunya.
“Eh, maaf itu Charlie sebenarnya,” katanya tersenyum.
Rovelie mengaku kepada BBC, beliau hanya belajar mengenai merancang kehamilan selepas mengandung anak ketujuh, namun kandungan kali ini sebenarnya tidak dijangka dan berlaku susulan perintah kawalan pergerakan dilaksanakan di Filipina akibat pandemik Covid-19 awal tahun ini.
Kini, Rovelie menanti kelahiran seorang lagi anak sedangkan suaminya baru saja meninggalkannya beberapa bulan lalu, menyebabkan dia risau memikirkan masa depan mereka 11 beranak.
Kawalan pergerakan di Filipina antara yang paling ketat di dunia, yang antara lain melihat askar meronda jalanan menggunakan kenderaan perisai.
Sekatan pergerakan itu juga mengakibatkan ribuan wanita tidak mendapat akses untuk kawalan kehamilan seterusnya menyebabkan ramai mengalami nasib seperti Rovelie di seluruh negara.
Malah, dianggarkan 214,000 bayi tak dirancang akan dilahirkan di Filipina tahun depan, kata Institut Populasi Universiti Filipina dan Dana Bangsa-bangsa Bersatu untuk Aktiviti Kependudukan (UNFPA).
Semua bayi ini akan dilahirkan di hospital yang sudah sedia terbeban dengan 1.7 juta kelahiran setahun, kebanyakannya dalam kalangan keluarga miskin.
Bagaimanapun, pandemik ini bukan satu-satu punca krisis populasi di Filipina, sebaliknya masalah itu sudah lama menunggu masa meledak.
Seramai 13 juta penduduk menghuni ibu negara, Manila dan boleh dikatakan secara purata setiap kilometer persegi dipenuhi lebih 70,000 orang, menurut data dari 2015.
Ini boleh dilihat di setiap pelusuk bandar itu, daripada kesesakan lalu lintasnya hinggalah di dalam penjara yang terlalu sesak hingga memaksa banduan berhimpit-himpit di dalam sel tahanan yang melimpah 300% melebihi kapasiti asalnya.
Tidak ketinggalan juga golongan yang begitu miskin sehingga terpaksa mencari makanan di tempat buangan sampah untuk meneruskan hidup.
Bekas menteri sosio ekonomi Ernesto Pernia berkata, jurang kemiskinan berjaya diperbaiki sedikit selepas pelaksanaan undang-undang kesihatan reproduktif yang mewajibkan pendidikan seks selain memastikan golongan miskin lebih mudah memperoleh kaedah kawalan kehamilan.
Sayangnya, semua itu mungkin terlerai akibat pandemik.
“Habislah usaha kami sejak empat tahun lalu. Pasti lebih banyak kelahiran tidak dirancang. Buat masa ini kadar direkodkan adalah tiga daripada 10 namun tidak mustahil tahun depan separuh daripada kehamilan seperti itu,” kata Juan Antonio Perez, pengarah eksekutif Suruhanjaya Populasi dan Pembangunan (POPCOM).
Beliau memetik kajian Institut Populasi Filipina dan Dana Bangsa-Bangs Bersatu untuk Aktiviti Kependudukan yang menjangkakan 2 juta bayi bakal dilahirkan di negara itu, tahun depan, dengan lebih 200,000 daripadanya adalah kehamilan tidak dirancang.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]