
Tahun 2021 mungkin sekadar disambut secara kecil-kecilan di rumah, tetapi tahukah anda banyak lagi boleh dilakukan selain membakar mercun untuk mengalu-alukan tahun yang baharu ini.
Sebelum menutup 2020, kami himpunkan antara sambutan ambang Tahun Baharu paling menarik dari seluruh dunia.
1. Memecahkan pinggan di Denmark.
Ibu bapa mungkin “menjerit” jika kamu memecahkan pinggan, tetapi di Denmark masyarakatnya menganggap petanda baik jika himpunan pinggan pecah menghiasi muka pintu ketika sambutan Tahun Baharu.
Ketika jam menandakan detik tengah malam, orang ramai berebut-rebut memecahkan pinggan pada pintu jiran mereka. Mengikut kepercayaan, lebih banyak pinggan pecah dan ditimbunkan di muka pintu pada Tahun Baharu, lebih banyak tuah dijanjikan untuk tahun mendatang.
2. Makan 12 anggur di Sepanyol.

Menjelang 2021 kediaman di Sepanyol akan menyimpan anggur yang manis dan ranum. Kenapa?
Di Sepanyol, semua orang diberikan 12 anggur menjelang tengah malam yang perlu dihabiskan dalam tempoh 12 saat.
Setiap anggur menandakan satu bulan dalam setahun, jadi mereka yang berjaya menghabiskan semuanya dalam tempoh ditetapkan pasti akan mendapat tahun yang baik.
3. Lompat melepasi tujuh ombak di Brazil.
Pantai di sekitar Brazil sering dikerumuni orang ramai pada malam Tahun Baharu kerana tradisi di situ adalah untuk melompat melepasi tujuh ombak sambil membuat hajat sempena tahun yang mendatang.
Tradisi itu dipercayai berasal daripada legenda Umbanda tempatan, iaitu agama Afro-Brazil yang mencampurkan elemen kepercayaan Afrika, Katolik, Spiritisme dan amalan penduduk asli.
Nombor tujuh dianggap suci dalam kepercayaan Umbanda dan dikaitkan dengan dewi air, Lemanjá yang dianggap akan memberikan kekuatan untuk menghadapi dugaan pada tahun yang akan datang.
4. Menghirup mi soba di Jepun.

Paling menyeronokkan apabila makanan turut menjadi sebahagian sambutan, dan begitulah amalan di Jepun yang meraikan tahun baharu dengan menjamah soba toshikoshi.
Soba adalah mi yang diperbuat daripada tepung gandum kuda, dan perkataan “toshikoshi” bererti memanjat atau melompat dari tahun yang lama ke tahun baharu.
Tradisi itu bermula sekitar era Edo, malah mi soba yang panjang dianggap simbol umur panjang. Tanaman gandum kuda sendiri amat tahan walaupun dalam cuaca buruk dan disebabkan itu mi soba dianggap mewakili kekuatan serta ketahanan.
Jadi apa lagi, jamah sajalah mi soba dan sambut 2021 dengan senyuman terukir di wajah.
5. Membuang air ke luar tingkap di Puerto Rico
Pada detik tengah malam, penduduk Puerto Rico menyambut Tahun Baharu dengan membuang berbaldi-baldi air di luar tingkap. Mengikut kepercayaan mereka ini akan menghalau roh jahat dan menjadi penutup tahun lama.
6. Memotong epal di Republik Czech.

Menjamah sebiji epal sehari mungkin amalan baik untuk kesihatan, tetapi di Republik Czech, buah ini dipercayai dapat menunjukkan ramalan masa depan seseorang.
Pada malam Tahun Baharu di Republik Czech, sebiji epal dipotong dua dan bentuk empulurnya dikatakan menjadi petanda masa depan seseorang.
Jika empulurnya berbentuk bintang, ini menandakan orang itu akan mendapat kesihatan baik dan kebahagiaan. Namun, awas, empulur berbentuk pangkah dianggap petanda masalah kesihatan.
7. Membakar patung di Ecuador.
Pada malam Tahun Baharu di Ecuador, orang ramai di seluruh negara itu akan membawa patung berupa ahli politik, artis pop atau ikon lain untuk dibakar di jalanan.
Amalan itu, digelar año viejo iaitu bermaksud “tahun lama” bererti membakar patung berkenaan seolah-olah menghapuskan nasib malang pada tahun yang lama.
Kebanyakan patung diperbuat daripada kain dan diisi kertas, pakaian lama, habuk papan, kadbod yang dihancurkan, jerami atau daun.
8. Pakaian dalam berwarna merah di Itali.
Jika anda berada di Itali pada malam Tahun Baharu, pastikan membawa bekal pakaian dalam merah. Pakaian dalam merah dipercayai dapat mengusir roh jahat dan pengaruh negatif seterusnya memastikan tahun akan datang lebih menggembirakan.
Apa lagi, pakailah baju atau seluar dalam merah tercantik anda, mana tahu ini akan membawa tuah untuk anda!
Jadi, jamahlah 12 anggur atau pecahkan pinggan lama ibu anda, mana tahu tradisi lama ini mampu membawa tuah untuk 2021.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]