Idola maya kuasai pentas China

Idola maya kuasai pentas China

Avatar digital dihasilkan guna animasi komputer dan pelakon semakin popular hiburkan peminat dalam pertandingan bakat.

Bintang maya digital kini menguasai Cina, tampil di rancangan televisyen dan mempunyai peminat tersendiri. (Gambar AFP)

Liu Jun sudah lama menjadi peminat setia bintang China digelar Amy, penyanyi pop remaja berambut merah yang pernah menurunkan tandatangan untuknya – namun ia hanya wujud dalam dunia digital.

Baru-baru ini, “Amy” memenangi pertandingan bakat maya di China, yang memaparkan penghibur dihasilkan komputer membuat persembahan di depan panel hakim selain disiarkan kepada jutaan penonton secara dalam talian.

“Wataknya tidak wujud di dunia sebenar, jadi lebih banyak boleh diangankan mengenai mereka,” kata Liu, 28, yang mengakui mengunjungi lebih dari 10 konsert dan acara peminat yang diadakan Amy sejak beberapa tahun lalu.

“Idola maya ini boleh dikatakan ‘kebal’ kerana selagi imejnya ada di situ, selagi itulah dia dalam hati kita buat selama-lamanya,” katanya.

Amy mula popular dalam rancangan ‘Dimension Nova’, dipercayai rancangan bakat pertama yang menghimpunkan penghibur digital yang menyanyi serta menari di depan tiga hakim selebriti.

Liu mengakui meminati Amy malah mengikuti kerjayanya dari awal, malah menangis gembira apabila kali pertama melihat idolanya itu di ‘Dimension Nova’ kerana menganggap itu peluang terbaik bintang kesayangannya menjadi lebih terkenal.

Pada satu acara menemui peminat, Liu dan peminat lain berbual dengan Amy menerusi skrin setinggi dua meter manakala mesin pencetak di sebelahnya menurunkan tandatangan bintang maya itu.

Walaupun konsep idola maya bermula di Jepun, avatar digital ini semakin popular di China dan dapat dilihat di rancangan televisyen, papan iklan malah rancangan berita.

Kajian iQiyi menganggarkan terdapat 390 juta penonton mengikutinya di seluruh negara.

“Tujuan rancangan ini adalah supaya orang ramai tahu, idola maya mampu wujud dalam dunia nyata kita sekarang,” kata penerbit eksekutif rancangan, Liu Jiachao kepada AFP.

Bintang maya dalam rancangan itu dihasilkan menggunakan gabungan animasi komputer dan pelakon – pakaian, gaya rambut dan penampilan Amy dihasilkan oleh juruanimasi sebelum seorang pelakon mengambil alih wataknya dengan setiap pergerakan dicerminkan idola berkenaan menggunakan teknologi.

Sebagai persediaan untuk persembahan Amy, pelakon berkenaan terpaksa melalui latihan tarian tambahan. Bagaimanapun, identiti pelakon di sebalik idola berkenaan langsung tidak disebut.

Sebaliknya, ketika persembahan ‘bintang’ berkenaan sedang berlangsung, rakaman akan menunjukkan kumpulan juruanimasi berhimpun di belakang pentas, tidak ubah seperti keluarga seorang peserta pertandingan.

“Saya memang anggap Amy seperti anak sendiri. Apabila melihat Amy di atas pentas, rasanya tidak ubah seperti melihat anak sendiri semakin dewasa.” kata Xu Xingmei, 26, juruanimasi yang bertanggungjawab mereka raut perasaan dan pergerakan Amy.

Mengikut anggaran penyelidik pasaran berasas di Beijing, Newsijie, Amy adalah sebahagian daripada industri idola maya yang dijangka bernilai 1.5 bilion yuan dalam tempoh dua tahun akan datang.

Laman web perkongsian video, Bilibili melaporkan terdapat peningkatan waktu tontotan sebanyak 200% bagi 10 bulan pertama tahun ini.

Namun begitu, segelintir pakar bimbang kualiti produk mungkin terjejas jika terlalu banyak syarikat menyertai industri itu.

“Jika benar-benar mahu menyertai industri ini, anda memerlukan wang, teknologi dan kegigihan,” kata Cao Pu, ketua eksekutif Shanghai Henian Technology, yang menghasilkan satu daripada idola maya paling berjaya di China.

Disebabkan hidup mati idola maya bergantung kepada teknologi, tidak kurang juga kejadian memalukan akibat kesilapan teknikal.

Contohnya, dalam satu persembahan hanya topi Amy muncul di atas pentas. Ada juga watak lain tiba-tiba hilang ketika membuat persembahan, termasuk satu peserta yang tiba-tiba kaku ketika cuba mengajar aksi kung fu kepada panel hakim.

“Memalukan sungguh, rancangan ini tidak layak ditonton,” kata seorang pengguna media sosial.

Namun pencipta rancangan itu tidak mengendahkan kritikan.

“Ramai pengikut rancangan kami dari awal melihat sendiri perubahan teknologi kami. Biasalah kontroversi akan berlaku apabila benda baru diperkenalkan,” kata Liu.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.