
Tersorok di celah runtuhan bangunan kuno yang dilitupi tumbuh-tumbuhan, ladang pohon zaitun milik Nikos Argirakis di wilayah Greece sepatutnya kini dipenuhi pekerja asing yang menjaga 1,000 pokok zaitun miliknya.
Namun, tahun ini, pengusaha berusia 40 tahun itu terpaksa meminta bantuan kakak dan ibunya yang sudah tua untuk membantunya disebabkan kekurangan tenaga kerja akibat sekatan yang dikenakan di Greece susulan penularan wabak virus korona.
Greece bulan lalu menutup sempadan dengan Albania, iaitu sumber utama buruh pertanian bermusim itu.
“Beginilah yang dilakukan datuk nenek kami dulu. Musim menuai memang secara tradisinya adalah satu usaha keluarga,” katanya.
Keluarga Argirakis bagaimana pun bernasib baik kerana menemui sepasang suami isteri Albania dan dua lelaki Bangladesh yang memasuki negara itu sebelum sekatan dilaksanakan.
Ladang Argirakis seluas satu hektar itu terletak berhampiran bandar Kalamata, di semenanjung Peloponnese.
“Musim menuai yang selalunya selesai pada hujung November kini tertangguh sehingga akhir Disember,” kata Argirakis yang kini turut mencari rezeki tambahan sebagai pelayan di satu kafe di Kalamata.
“Buah zaitun dipetik menggunakan tangan dimasukkan ke dalam raga di bawahnya. Kerjanya renyah dan tidak ramai penduduk tempatan sanggup melakukannya,” ujarnya lagi.
Sementara itu, di pekan Messini berhampiran, seorang pemilik ladang zaitun, Panayiotis Outsikas juga terpaksa bergantung kepada keluarganya untuk menuai hasil zaitun.
“Tiada pekerja, jadi kami terpaksa melakukannya sendiri,” katanya yang dikelilingi biri-biri peliharaannya.
“Kebanyakan ladang dimiliki keluarga dan penduduk yang sudah tua jadi, memang sukar untuk menuai buah zaitan. Ini bermakna tempoh musim menuai akan menjadi tiga kali ganda lebih lama,” kata Ioannis Andriopoulos, 50, yang bekerja di koperasi pertanian tempatan.
Menurutnya, dalam pada pandemik yang meragut lebih 4,000 nyawa di Greece, ramai pekerja bermusim yang selalunya datang secara haram dan bimbang diusir bagi mengelak ujian Covid-19.
“Ini menjadikan separuh pekerja bermusim dalam sektor pertanian di negara itu berada secara haram,” kata sumber dalam industri berkenaan.
Saujana mata memandang, ribuan pokok zaitun dapat dilihat sehingga ke kawasan pesisiran pantai di semenanjung Messinia.
Menurut data agensi EU, Eurostat, minyak zaitun yang juga digelar ‘emas hijau’ Greece, meraih 790 juta euro pada 2019. Namun disebabkan perintah sekatan, jumlah itu mungkin jatuh sehingga 650 juta euro tahun ini.
Dengan kadar pengeluaran 275,000 tan tahun lalu, Greece adalah negara pengeluar minyak zaitun keempat terbesar dunia selepas Sepanyol, Itali dan Tunisia.
Kira-kira 60% keluarannya dieksport, kebanyakannya ke Itali.
Giannis Pazios, setiausaha agung koperasi tempatan berkata, dua ‘gelombang’ penutupan restoran di seluruh negara iaitu awal tahun ini, dan sekali lagi sejak 7 Nov lalu menjejaskan permintaan untuk minyak zaitun, yang juga bahan utama dalam masakan Greek.
“Kami tidak dapat menjualnya kepada restoran atau kedai runcit, tambahan pula eksport akan berkurangan tahun ini,” kata Dimitris Karoumpalis yang memiliki mesin untuk memerah minyak zaitun.
“Kami masih boleh ‘bernafas’ tetapi sekarang perlu melihat pasaran baharu, seperti Russia,” katanya.
Sektor itu merangkumi kira-kira 600,000 pengeluar kecil-kecilan yang lazimnya tidak diuruskan dengan baik. Kebanyakan pengeluar lebih cenderung mendapat wang pantas berbanding melabur wang bagi merangka strategi jangka panjang yang memerlukan pemasaran dan promosi.
“Budaya minyak zaitun di Greece bersifat kekeluargaan, lebih sebagai amalan bukan profesional berbanding aktiviti ekonomi,” kata Vassilis Zambounis, penerbit, pengendali laman web dan penulis bersama buku sepanjang 700 muka surat mengenai minyak zaitun.
“Penjualan minyak zaitun dilakukan kepada rakan dan keluarga. Orang Greece lebih mempercayai barangan buatan sendiri berbanding apa dijual di pasar raya,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]