
Kejadian ini berlaku di sebuah negeri di utara Malaysia. Diceritakan semula oleh seorang penduduk kampung yang melihat sendiri kejadian tersebut.
Mayat lelaki tanpa kepala itu tiba-tiba bangun. Dia cuba menapak beberapa langkah sebelum jatuh semula dan terus kaku.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu gempar. Di antara mereka termasuklah seorang remaja, Abdullah Bin Mat yang ketika itu baru berusia sekitar 10 tahun.
“Saya saksikan sendiri kejadian tersebut. Mayat lelaki itu bangun dan berjalan beberapa langkah sebelum jatuh semula,” katanya.
Abdullah yang kini berusia 69 tahun berkata, lelaki itu dihukum pancung oleh tentera Jepun kerana dia disyaki tali barut pihak British.
“Pada masa itu, nyawa manusia memang murah. Macam nyawa ayam saja. Kalau dia (tentera Jepun) suruh apa pun, janganlah tak buat. Kalau tidak, mesti kena,” ujarnya yang kini menetap di Selangor.
Kata Abdullah, kejadian mayat lelaki bangun tanpa kepala itu berlaku di suatu kawasan tidak jauh dari pekan. Tentera Jepun juga sangat anti kepada mana-mana individu yang didapati bersekongkol dengan pihak lain yang menentang mereka.
“Kalau dia jumpa dengan orang ini, memang dia tak simpan,” katanya lagi.

Sebagai pengajaran kepada orang lain, ujarnya pihak Jepun telah menjadikan suatu kawasan di pinggir pekan itu sebagai lokasi khas melaksanakan hukuman.
“Untuk tujuan itu, mereka (tentera Jepun) telah menggali beberapa lubang sedalam kira-kira enam kaki dalam kawasan tersebut.
“Apabila hukuman hendak dijalankan, tangan orang yang didakwa mereka sebagai pesalah itu akan diikat ke belakang. Dia didudukkan dalam keadaan berlutut dan kepalanya dijulurkan ke dalam lubang.
Dengan sekali tetak sahaja kata Abdullah, kepala mangsa akan terpisah dari badan dan terus jatuh ke dalam lubang tersebut.
“Kalau kepala tak masuk dalam lubang, ditendang pula seperti bola. Bayangkanlah,” ujarnya sambil menundukkan kepala.
Peristiwa itu, kata Abdullah disambut oleh tentera Jepun seperti satu pesta.
“Selepas satu demi satu mangsa dibunuh dengan kejam, mereka (tentera Jepun) akan bersorak sambil memberi amaran kepada orang ramai yang menyaksikan kejadian itu supaya tidak menentang pihak Jepun,” katanya lagi.
Menurut Abdullah, mangsa dihukum bukan atas kesalahan menentang Jepun semata-mata, malah atas kesalahan lain yang terlalu remeh juga boleh menyebabkan nyawa bercerai dari badan.
“Ada juga yang dihukum kerana tidak tahu panjat pokok kelapa apabila disuruh oleh tentera Jepun. Pendek kata apa juga arahan mereka pada waktu itu, mestilah dipatuhi,” ujarnya.
Bagi Abdullah, hidup di zaman Jepun tidak ubah seperti hidup dalam penjara terbuka.
“Walaupun kita tidak dikurung, tapi dalam apa juga tindak-tanduk mesti berwaspada. Jangan sampai menyebabkan kemarahan mereka dan kalau boleh, tidak ada orang pada masa itu ingin berselisih dengan tentera Jepun. Selisih dengan harimau lagi baik,” katanya sambil ketawa.
“Susah, memang susah, tapi kalau tak mahu berlapar sanggup sajalah makan ubi kayu setiap hari. Jangan harap dapat makanan seperti sekarang,” akhirnya.
Cerita ini adalah berdasarkan dari kisah benar beberapa tahun yang lalu. Namun, nama dan lokasi kejadian dirahsia bagi tujuan keselamatan. Gambar adalah hiasan semata-mata.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]