
Tahukah anda bahawa papan pemotong sering terdedah kepada bakteria terutamanya yang digunakan untuk memotong daging. Jus daging akan meresap ke dalam lipatan kecil dari papan pemotong dan kekal di situ dan ini akan mengundang bakteria. Oleh itu, ia perlu dibersihkan dengan betul.
Berikut adalah beberapa cara membersihkan papan pemotong dengan berkesan.
1. Sabun
Bermula dengan kaedah paling mudah dan biasa digunakan iaitu membersihkan dengan sabun. Bersihkan dengan sabun terlebih dahulu dan bilas menggunakan air panas.
Asingkan span yang digunakan untuk pinggan dan gunakan span khas untuk mencuci papan pemotong. Ini akan mengurangkan kemungkinan pencemaran dan penyebaran bakteria dari daging mentah ke pinggan dan perkakas lain.
2. Peluntur
Peluntur adalah kaedah yang sangat terkenal untuk membersihkan barangan rumah termasuk papan pemotong. Untuk membasmi kuman yang ada pada papan pemotong, masukkan 1 sudu teh peluntur ke dalam air. Rendamkan papan ke dalam larutan peluntur selama beberapa minit. Bilas dengan air panas dan keringkan menggunakan tuala atau kertas tisu bersih.
Kaedah ini hanya sesuai untuk papan pemotong kayu dan plastik sahaja. Pakai alat pelindung seperti topeng dan sarung tangan untuk mengelakkan peluntur dari bersentuhan dengan kulit anda.
3. Cuka
Bagi mereka yang lebih suka pendekatan yang organik dengan menggunakan produk bebas bahan kimia, berikut adalah dua kaedah lagi yang boleh anda cuba.
Anda boleh menggunakan cuka berasid sebagai pembersih bakteria pada papan pemotong. Hanya campurkan cuka putih ke dalam empat bahagian air dan biarkan papan anda terendam di dalam larutan tersebut selama beberapa minit. Kemudian, bilas dan keringkan papan pemotong.
4. Lemon dan garam
Gabungan garam dan lemon amat baik untuk membersihkan bakteria dan kuman yang ada pada papan pemotong. Taburkan garam di atas papan kemudian potong lemon separuh dan gosok pada papan.
Setelah selesai menggosok, biarkan selama 5 minit. Kemudian bilas dengan span. Sekarang anda mempunyai papan pemotong yang bebas kuman.
Artikel ini telah diterbitkan pertama kali di kaodim.com
Salah satu platfom perkhidmatan tempatan yang sedang berkembang maju di Asia Tenggara. Kaodim menghubungkan pengguna kepada penyedia perkhidmatan tempatan persendirian dan profesional – dengan pantas dan bebas gangguan. Dengan aplikasi Kaodim, pengguna boleh mengakses kepada perkhidmatan profesional untuk pengubahsuaian rumah, pembersihan pejabat dan banyak lagi.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]