
Wanita cantik, gerombolan manusia tanpa kepala dan gumpulan kain kafan bergolek di atas jalan. Semua ini adalah antara mainan Razlan hampir setiap malam.
Selain itu, sudah beberapa kali dia terserempak dengan “rombongan manusia” berwajah aneh sedang berjalan beramai-ramai menghala ke arah pantai di belakang kolej itu.
Razlan yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah kolej sejak dua tahun lalu percaya ‘mainan’ itu berpunca daripada pohon sena, juga tanah perkuburan yang terletak di seberang jalan berhadapan dengan pintu utama kolej tersebut.
“Selain itu, di bawah tapak pondok ini juga ada sebuah kubur dipercayai berusia beratus tahun dan asingkan daripada tanah perkuburan itu atas sebab-sebab tertentu,” katanya tidak menolak kubur itu juga mungkin punca ‘mainan’ tersebut.
Pondok yang dimaksudkan oleh Razlan ialah pondok jaga pintu utama kolej tempat di bertugas sepanjang malam.
“Sebenarnya, bermacam-macam pengalaman yang dikaitkan dengan makhluk halus telah saya lalui sepanjang bertugas di sini. Tapi nak buat macam mana, ini kerja saya.
“Pernah satu malam, sedang saya bersiap-siap hendak mengambil wuduk untuk solat Isyak, tiba-tiba muncul jelmaan seorang wanita cantik dalam jarak hanya kira-kira empat meter dari saya. Wanita itu memakai pakaian serba putih seakan-akan telekung. Dia pandang tepat ke arah saya sambil tersenyum,” katanya.
Selepas beberapa minit, kata Razlan wanita itu ghaib secara tiba-tiba dan meninggalkan bau-bauan yang cukup harum.
Pada satu ketika yang lain pula, ujarnya dia terkejut besar apabila dihubungi menerusi telefon oleh seorang ustaz yang juga tinggal dalam kawasan kolej itu.
“Ustaz itu bertanya kepada saya sama ada saya nampak sekumpulan manusia tanpa kepala sedang berjalan masuk ke kawasan kolej betul-betul di hadapan pondok ini.
“Saya yang berada dalam pondok ketika itu beritahu yang saya tidak nampak apa-apa pun sebaliknya, ustaz itu bertegas yang dia sedang memerhatikan kumpulan manusia tanpa kepala itu berjalan di hadapan pondok di mana saya berada,” katanya.
Razlan percaya lembaga manusia tanpa kepala itu mungkin mangsa kekejaman tentera Jepun pada zaman perang. Ini kerana dalam kawasan kolej itu, terdapat sebuah perigi yang pernah digunakan oleh tentera penjajah untuk membuang kepala mangsa pancungan mereka.
“Memang kalau ditimba perigi itu, kita dapat lihat dengan jelas tengkorak mangsa pancung tentera Jepun,” ujarnya lagi.
Selain itu, Razlan juga mendakwa dia sendiri beberapa kali pernah terserempak dengan lembaga berpakaian serba putih merayau-rayau dalam kawasan kolej terutama pada waktu Subuh dan Magrib.
“Kadang-kadang belum masuk waktu Subuh lagi, saya nampak seakan-akan ada kumpulan pelajar sedang berwuduk di luar surau yang terletak tidak jauh dari pondok ini. Bagaimanapun bila saya hampiri, mereka tiba-tiba ghaib dan bila dilihat pada paip, tiada setitik pun kesan air di situ,” uajrnya.
Mengenai gumpulan kain kafan, Razlan berkata dia sendiri melihat gumpulan kain itu bergolek-golek di atas jalan di hadapan pondok jaganya pada satu tengah malam.
“Saya pun tidak tahu dari mana datangnya kain itu. Ia muncul secara tiba-tiba saja. Bergolek-golek macam bola,” ujarnya.
Gumpulan itu jelas Razlan yang disebut oleh kebanyakan orang sebagai “hantu pocong” kemudian ghaib selepas beberapa saat.
Segala pengalaman itu, katanya meskipun sesekali meremangkan juga bulu romanya, namun terpaksa digagahi kerana itulah punca pendapatannya sekarang untuk menyara anak dan isteri selepas bersara dari perkhidmatan tentera beberapa tahun lalu.
Cerita ini adalah berdasarkan dari kisah benar beberapa tahun yang lalu. Namun, nama dan lokasi kejadian dirahsia bagi tujuan keselamatan. Gambar adalah hiasan semata-mata.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]