
Dalam meniti usia yang kini mencecah 78 tahun, wanita kelahiran Kerala India Selatan, dikenali sebagai Meenakshi Amma ini bukan sebarangan nenek.
Warga emas yang masih tegap dan lincah ini adalah inspirasi dalam kebangkitan seni mempertahankan diri kuno kalaripayattu. Beliau juga turut mendorong gadis-gadis untuk mempelajarinya.
“Saya mula mempelajari kalari ketika berusia 7 tahun. Sekarang saya 78 tahun. Masih mengamalkannya, mempelajarinya dan mengajarnya,” kata pengasas sekolah Kadathanad Kalari Sangham, yang ditubuhkan mendiang suaminya pada 1949 itu.
“Selak saja akhbar, kita hanya lihat berita keganasan terhadap wanita.
“Apabila wanita mempelajari seni mempertahankan diri, secara tidak langsung mereka merasa kuat dari segi mental dan fizikal. Mereka juga lebih berkeyakinan untuk bekerja dan mengembara sendirian,” ujarnya lagi.
Kalari yang mengandungi elemen tarian dan yoga juga menggunakan senjata seperti pedang, perisai dan pelbagai lagi.
Dipercayai berusia lebih 3,000 tahun, ia turut tercatat dalam kitab suci Hindu kuno.
Bagaimanapun pada 1804, pemerintah Kolonial British mengharamkan amalan seni ini namun ia diteruskan secara rahsia sebelum kembali dibenarkan pada awal abad ke-20 dan selepas mencapai kemerdekaan pada 1947.
Sejak beberapa dekad kebelakangan ini, ia telah berkembang pesat, berkat usaha Meenakshi, yang turut meraih anugerah di peringkat kebangsaan pada tahun 2017.
Kini ia diiktiraf sebagai sukan dan diamalkan di seluruh India.
“Apabila mental dan fizikal bersatu dengan kalari, musuh tiba-tiba hilang, dan tubuh menjadi mata. Ia umpama satu bentuk puisi.
“Saya akan mengajar kalari bersama abang saya. Kami perlu mengambil alih jika tidak ia akan hilang,” kata jurutera awam, Alaka S. Kumar, 29, yang juga anak perempuan Meenakshi.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]