
Mesej unik ini mengalu-alukan pelanggan yang sedang lapar menghubungi semata-mata untuk membuat pesanan Blooming Seasons Custom Sushi Cake air tangan Dr Chef dari Pulau Pinang itu.
Kek sentuhan Dr Chef menjadi begitu popular sehingga orang di Australia dan Singapura turut memesannya sebagai hadiah buat keluarga di Pulau Mutiara.

Menariknya, kek Dr Chef bukanlah jenis coklat biasa atau red velvet dengan ‘frosting’ manis, sebaliknya ia adalah lapisan nasi berwarna-warni, dengan sos mentaiko yang enak bagi memberi perisa dan perasa makanan laut kepada pencuci mulut itu.
Dan siapakah Dr Chef? Ia adalah sebuah syarikat yang ditubuhkan oleh Dr Ooi Ben Shyen, 37, dan Goh Yewen, 26.
Ketika tidak merawat pesakit di wad kecemasan hospital, Ooi akan menyibukkan diri di dapur, menyiapkan pesanan kek sushi pilihan ramai itu.
Isterinya, Goh adalah chef utama dan sering berjaga sehingga tengah malam demi menyiapkan pesanan pelanggan yang diterima setiap hari.

Walaupun kek sushi pasangan ini meraih kejayaan dalam masa yang singkat, rancangan awalnya adalah untuk menjual kek itu sebagai cara untuk mengumpulkan dana bagi menyelesaikan kos perbelanjaan dua gim rock-climbing milik mereka.
“Gim-gim kami terpaksa ditutup selama lima bulan dan kami masih membayar perbelanjaan dan gaji kakitangan,” kata Ooi, merujuk kepada wabak Covid-19 dan perintah sekatan yang berkuatkuasa.
“Jadi, semua gaji saya sebagai doktor disalurkan sepenuhnya untuk memastikan ia terus dibuka,” katanya sambil mengeluh.

Pasangan itu membuka Hangout Climbing Gym pada 2018 di The Palazzia, dan sebaik perniagaan berjalan, mereka membuka gim kedua di Metro Avenue tahun lalu.
Selain aktiviti memanjat, pasangan ini gemar memasak, aktiviti bersama yang mereka kembangkan ketika negara berdepan perintah sekatan.

Mungkin sukar dibayangkan, tetapi kek sushi ini sebenarnya tidak terdapat di dalam menu asal Dr Chef.
“Kami tidak menjual kek sebelumnya. Kami menjual sushi bakar, menu paling laris selama tiga bulan,” kata Ooi, sambil mengakui beberapa pelanggan membuat pesanan tetap setiap minggu.

“Kemudian pada awal bulan ini, salah seorang pelanggan tetap meminta kami membuat kek sushi.”
Sushi bakar itu adalah satu perkara yang sedia unik tetapi kek sushi pula adalah hidang berlapis-lapis yang tidak pernah mereka cuba sebelum ini.
Pasangan itu ragu-ragu pada mulanya, tetapi pelanggan mereka bertegas dan membayar pendahuluan RM150 semata-mata untuk mendapatkan ‘kek’ tersebut.
Selepas berjam-jam menjelajah internet untuk mencari idea dan dengan tekun merancang pembinaan kek itu hingga ke butiran terakhir, mereka akhirnya berjaya menghasilkan kek sushi pelangi pertama mereka.

Goh masih teringat betapa terkejutnya dia dengan rasa yang bukan saja sedap tetapi kejadiannya yang cantik. Lebih penting lagi, pelanggan mereka sangat menyukainya.
Pesanan sepanjang bulan Oktober hampir ditutupkan, kata Goh, dengan 35 kek telah ditempah dan banyak lagi sedang menunggu giliran.

Kek Sushi Custom Blooming Seasons menjadi buruan ramai kerana setiap lapisan mempersembahkan profil rasa yang berbeza.
“Yewen menamakan kek itu dan sebenarnya terdapat empat musim di dalamnya,” kata Ooi yang menambah warnanya membentuk kecerunan yang indah.
“Ia sangat puitis, seperti udang goreng dan telur menggambarkan musim panas, sementara musim bunga adalah salmon salai,” jelasnya.

Lapisan bawah beras seputih salji mereka itu ditabur dengan rumput laut dan dihiasi dengan avokado berkrim diikuti dengan perasa ketam dan lapisan telur ikan yang meriah tak ubah seperti letusan rasa bunga api.
Watak utama hidangan ini adalah lingkaran emas udang goreng yang dipadankan dengan sos mentaiko rahsia pasangan itu, menjadikan kek ini benar-benar berkrim dan lazat.

Walaupun telah berkhidmat selama 13 tahun sebagai doktor di bilik kecemasan dan ‘berkembang dalam keadaan huru-hara’, Ooi mengakui dia tidak mempersiapkan diri dengan tekanan mengendalikan sebuah perniagaan makanan.
“Menariknya banyak kemahiran yang saya pelajari di bilik kecemasan, termasuk CPR dan menyelamatkan nyawa orang, turut diterapkan di sini,” akur doktor itu, sambil menambah sebaik apronnya ditanggalkan, ia diganti pula dengan pakaian hospital untuk syif 8 malam hingga 8 pagi di hospital.
Ia satu pengorbanan yang besar namun oleh kerana ia menyelamatkan dua gim mereka, Ooi dan Goh merasa sangat bersyukur.
Singgah ke laman Facebook Dr Chef atau berbual dengannya di Whatsapp. Anda juga boleh ke Hangout Climbing Gym untuk menguji kemahiran mendaki.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]