
Walau bagaimanapun, terdapat ramai pelajar yang tidak mampu membayar yuran tuisyen, dan ini boleh menyebabkan mereka merasa terpinggir.
Devi Velayudan memulakan Pusat Penjagaan Krsna Avanti bertujuan untuk membantu pelajar dalam kategori B40 dengan memberi mereka tuisyen percuma.
Bekerjasama dengan portal e-learning, MindAppz, Krsna Avanti bergabung dalam program “Sponsor A Child” untuk mendapatkan senarai nama pelajar yang terdiri daripada kumpulan B40 bagi membantu mereka mendapatkan tajaan yang mereka perlukan.
“Kombo e-tuisyen ini akan memberi faedah dan pemahaman langsung kepada pelajar B40 selain membolehkan mereka belajar dengan lebih berkesan dan cekap,” kata Devi.
Devi mengasaskan Pusat Penjagaan Krsna Avanti pada tahun 2019. Sebagai seorang guru, dia bertemu ramai pelajar yang tidak mampu membayar yuran tuisyen bagi membantu memperbaiki kelemahan dalam mata pelajaran mereka.
“Saya mula memberi tuisyen di sebuah pusat ibadat berhampiran rumah saya di Melaka,” kongsi Devi.

Devi mengusahakan pusat berkenaan sendirian dan mendakwa motivasinya untuk membantu pelajar ini terinspirasi dari semangat dan cintanya terhadap kerjaya sebagai tenaga pengajar.
“Ini adalah sesuatu yang sangat dekat dengan hati saya,” katanya.
“Saya berharap dapat memberi setiap anak-anak peluang untuk belajar,” tambahnya, sambil berkongsi sebahagian pelajarnya terpaksa berhenti pada awal perjalanan akademik mereka, dan dia berharap melalui usaha ini mereka akan diberi peluang kedua untuk berjaya.
Malangnya, tidak lama selepas memulakan pusat tuisyennya, wabak melanda dan Malaysia terpaksa berdepan perintah sekatan.
Namun, menurut Devi perintah sekatan itu sebenarnya adalah satu “rahmat” buatnya. Usaha yang bermula secara kecil-kecilan dengan hanya pelajar B40 di Melaka kini semakin berkembang sehingga melangkaui pelajar B40 dari negeri lain.

“Kami berjaya beralih ke pembelajaran secara dalam talian dan memberikan tuisyen percuma untuk pelajar yang benar-benar memerlukannya,” katanya gembira, sambil menambah sukatan pelajaran kelas tuisyen tersebut adalah sama dengan silibus KPM.
Dia benar-benar terharu dengan peningkatan jumlah pelajar. “Pada tahun 2020 kami mempunyai sekitar 38 pelajar yang dapat kami taja, setakat tahun ini kami mempunyai 87 pelajar yang bakal ditaja,” katanya sambil berharap mereka dapat membantu lebih ramai pelajar.

Terlalu banyak cabaran yang perlu ditempuh akibat wabak itu, salah satunya tidak dapat bertemu secara bersemuka dan melihat keadaan mereka.
Walau bagaimanapun, selain sesi pembelajaran dengan mereka, Devi juga berusaha sebaik mungkin untuk mengikuti perkembangan pelajarnya secara maya dan melihat bagaimana penerimaan mereka terhadap pembelajaran dalam talian yang cukup mencabar.
Jelas Devi lagi, portal MindAppz sangat berguna kepada pelajar kerana ia merangkumi e-pembelajaran, e-buku, e-buku audio, ujian dalam talian, pemantauan, penilaian bahkan laporan analisis untuk pelajar dan ibu bapa mengesan kemajuan anak mereka sekali gus mengenal pasti kelebihan dan kelemahan mereka.

Tambahnya “Portal ini juga memberi pelajar pelbagai pilihan subjek lain yang mungkin tidak terdapat di sekolah mereka”.
Katanya, ia adalah program semua dalam satu yang menyediakan subjek pengekodan, kelas bahasa Mandarin dan juga Zumba supaya pelajar dapat mendalami dan mempelajari banyak kemahiran baru.
“Melalui program penajaan ini pelajar B40 juga akan mendapat peluang dan dorongan yang mereka perlukan untuk meningkatkan prestasi pembelajaran mereka,” kata Devi.
Kos untuk keseluruhan program selama setahun bagi seorang pelajar adalah RM299.
Sekiranya anda ingin menaja pelajar-pelajar ini, salurkan sumbangan anda terus ke Pusat Penjagaan Krsna Avanti, nombor akaun AmBank 8881039520719.
“Kami amat berharap anda dapat menyokong kami untuk membantu pelajar ini beroleh peluang yang lebih baik untuk berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan mereka”.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]