Insan cacat penglihatan cekal salur bantuan buat mereka yang kelaparan

Insan cacat penglihatan cekal salur bantuan buat mereka yang kelaparan

Sekumpulan sahabat yang cacat penglihatan memberikan bantuan makanan kepada mereka yang memerlukan melalui kempen yang ditaja sendiri.

Tan Chee Kiong (kiri) dan Nor Saiful dalam perjalanan ke kampung Orang Asli di Teluk Jawa, Johor, pada 28 Ogos lalu untuk mengedarkan Jalur Gemilang miniatur kepada penduduk kampung. (Gambar Vincent D’Silva)
JOHOR BAHRU:
Dua lelaki cacat penglihatan, yang masih perlu dibantu, membantu sekurang-kurangnya 100 insan yang kelaparan di sini melalui sumbangan makanan yang ditaja mereka sendiri.

Walaupun berdepan banyak kesulitan dengan penglihatan masing-masing hanya sekitar 10%, sikap altruisme Tan Chee Kiong, 47, dan Mohd Nor Saiful Abdul Karim, 30, adalah paparan sebenar kemurahan hati, kasih sayang dan perhatian yang cukup menyentuh hati.

Tan, seorang perunding pemasaran bebas dan Nor Saiful seorang pembantu kedai, masing-masing memperoleh kira-kira RM2,000 setiap bulan dan telah dua kali sejak Julai lalu menghabiskan hampir separuh daripada pendapatan mereka untuk memberi makanan kepada mereka yang kesusahan.

Mereka telah memberi sumbangan kepada orang kurang upaya, orang miskin, orang sakit, penganggur dan ibu tunggal, yang semuanya terjejas akibat wabak Covid-19.

Bercakap kepada FMT bersempena Hari Amal Antarabangsa Ahad lalu, Tan berkata walaupun mereka buta, mereka dapat mendengar rintihan insan yang dalam kesusahan.

Menurut Tan terdapat kira-kira 200 insan yang kurang bernasib baik dalam program bantuan makanan mereka tetapi hanya kurang dari separuh sahaja yang dapat dibantu akibat kekangan kewangan.

Dia berharap para penaja dapat membantu mereka dengan menghulurkan bantuan makanan kepada insan yang layak, di lebih banyak kawasan secara berkala.

Tan, yang berkhidmat sebagai ahli Johor Bahru Lions Club sehingga 2017, berkata sementara menunggu bantuan, mereka akan meneruskan usaha itu selagi terdaya dan termampu.

“Kecacatan ini telah mendorong saya untuk mencapai lebih banyak dalam hidup dan memfokus pada kebaikan,” kata Tan, yang mula berdepan masalah penglihatannya akibat glaukoma pada tahun 2000.

Nor Saiful, yang turut menjadi mangsa glaukoma pada tahun 2013, berkata, “Saya merasa sedih setiap kali mendengar ada insan yang lebih menderita daripada kami, menderita akibat kemurungan dan anak-anak muda yang membunuh diri.

“Kami tidak punya banyak, tetapi kami melakukan apa yang kami mampu untuk membantu mengurangkan bebanan kepada mereka yang memerlukan,” kata bapa kepada seorang anak perempuan berusia empat tahun dan seorang anak lelaki berusia empat bulan. Isterinya juga turut bekerja di syarikat yang sama.

Tan dan Nor Saiful mula bekerjasama selepas bertemu di Buta World, sebuah kumpulan yang dianggotai 40 orang cacat penglihatan, ditubuhkan oleh pemimpinnya, Fakhrul Ariffin Bakir.

Mereka juga mempunyai kumpulan WhatsApp di mana ahlinya membaca mesej mereka melalui aplikasi yang menukar teks kepada ucapan atau Braille manakala Tan mempunyai skrin komputer 64 inci dengan kontras tinggi untuk membaca.

Fakhrul, yang terlibat dalam melatih dan melatih semula pesakit buta di Hospital Enche ‘Besar Hajjah Khalsom di Kluang, kehilangan penglihatannya 11 tahun lalu akibat retinitis pigmentosa.

Tan berkata, Fakhrul sering mendorong anggotanya untuk menyumbang atau berkhidmat kepada masyarakat atau mereka yang memerlukan.

“Fakhrul menyarankan agar Nor Saiful, dari Pasir Gudang, dan saya membentuk satu pasukan yang baik kerana pelbagai kaum akan terlibat dengan bantuan makanan dan juga kerana tempat tinggal kami yang berhampiran,” katanya.

Dengan bantuan sukarelawan dan ahli keluarganya, Tan bertanggungjawab memastikan kredibiliti setiap penerima yang berpotensi dan mengenalpasti logistik sementara Nor Saiful berurusan dengan masyarakat Melayu.

Gambar yang diambil ketika program visi sekolah melalui lensa seorang jurugambar buta. (Gambar Tan Chee Kiong)

Isteri Tan, Esther Chee, dan sukarelawan lain bergilir-gilir untuk menghantar mereka ke destinasi, ditemani anaknya Hong Yu, 19, dan anak perempuannya, Yi Xuan, 13.

Pada Julai lalu, Tan dan Nor Saiful membelanjakan kira-kira RM1,000 setiap seorang untuk membeli beras, minyak, gula, mi, telur, sardin dan susu buat keluarga miskin di rumah pangsa kos rendah Sri Stulang di sini dan di Plentong.

Antara penerimanya adalah Junaidah Omarang, seorang nenek yang bergelut untuk menyara 12 cucunya.

Suaminya meninggal dunia beberapa tahun lalu dan tiga anaknya kehilangan pekerjaan ketika pandemik menyerang tahun lalu.

Bulan lalu, mereka memberikan khidmat yang sama buat 40 keluarga Orang Asli, yang bergantung hidup dengan menangkap ikan di Teluk Jawa, Permas Jaya, dekat sini.

Mata pencarian mereka terjejas teruk akibat wabak Covid-19 kerana restoran tidak lagi membeli hasil tangkapan mereka akibat perniagaan yang merudum.

Vincent D’Silva, yang menemani mereka di kedua-dua lokasi itu berkata, “Penerima menangis sebaik menerima bantuan dari Tan dan Nor Saiful, sambil mengatakan bahawa kedua-duanya sendiri perlu dibantu.

“Mereka hidup dalam kegelapan tetapi mereka tidak sanggup melihat kehidupan orang lain juga berubah menjadi gelap,” kata D’Silva, seorang pensyarah bahasa Inggeris dan pekerja sosial.

Dia menyifatkan mereka sebagai orang buta yang bertekad untuk membantu mereka yang tidak berdaya berdepan derita dan hidup tanpa berputus asa.

“Walau betapa sulit keadaannya, kedua-dua lelaki itu ingin memastikan mereka yang berada di sekelilingnya tidak perlu menderita dan terpinggir,” katanya.

Ada sisi lain yang cukup menyentuh hati dalam kerja sosial Tan. Walau tahap penglihatannya tidak seberapa, dia cukup meminati seni fotografi.

Tan berkata dia menggambarkan imej yang ingin dihasilkan di mindanya menggunakan deria suara, sentuhan dan ingatan untuk menghasilkan gambar.

“Fotografi membolehkan saya menjadi sebahagian daripada dunia dan berhubung dengan orang lain,” kata Tan, yang cukup menggemari bidang fotografi sejak kecil lagi.

Bagi mereka yang ingin menyokong rakyat Malaysia yang cukup memberi inspirasi ini boleh menghubungi Tan Chee Kiong di talian 016 719 0321.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.