Atlet Paralimpik cacat penglihatan dilamar ‘guide’ sebaik tamat larian

Atlet Paralimpik cacat penglihatan dilamar ‘guide’ sebaik tamat larian

Video pelari buta, Keula Nidreia dilamar ‘guide’ mengundang pelbagai komen mengejutkan dan romantis warganet.

Imej menunjukkan pemandu (guide) kepada atlet pelari cacat penglihatan, Keula Nidreia Pereira Semedo sedang melamar atlet itu. (Gambar Twitter)

Setiap atlet yang menyertai temasya sukan Paralimpik Tokyo 2020 pastinya mengidamkan kilauan emas, perak mahupun gangsa untuk membanggakan negara.

Namun lain kisahnya dengan seorang atlet pelari pecut cacat penglihatan, Keula Nidreia Pereira Semedo dari Cape Verde yang tidak memenangi sebarang pingat.

Dia sebaliknya mendapat kilauan yang lebih bermakna lagi iaitu cincin pertunangan selepas dilamar pemandunya (guide) sendiri sebaik larian tamat.

Menerusi video berdurasi satu minit 45 saat itu, Keula Nidreia dilihat sedang berlari bersama ‘guide’ dalam acara 200m T11 (saringan ke-4) wanita.

Walaupun menjadi pasangan atlet yang terakhir menamatkan perlumbaan, pemandunya kelihatan ceria dan meninggalkan seketika atlet tersebut di trek untuk mengambil sesuatu.

Sementara itu seorang guide lain mula memanggil rakan atlet dan guide masing-masing seolah mengetahui sesuatu kejutan akan berlaku.

Sebaik pasangan guide Keula kembali, dia terus memegang tangan atlet itu, melutut sambil melamar dan dilihat menyarungkan cincin ke jari manisnya.

Tindakan spontan itu mengundang tepukan gemuruh, sorakan dari rakan atlet dan seluruh penonton di stadium yang menyaksikannya.

Detik bersejarah yang dikongsi di Twitter SABC Sport itu mengundang pelbagai maklum balas romantis tidak kurang ucapan tahniah buat pasangan itu.

“Indahnya! Tahniah buat pasangan bahagia ini,” kata seorang pengguna Twitter.

“Momen yang mengagumkan! Tahniah buat kedua-duanya,” kata seorang pembaca.

“Romantis dan bersejarah!!!!Tahniah!!!,” kongsi seorang lagi warganet.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.