Dr Sarah Gilbert, saintis disebalik penemuan vaksin AstraZeneca

Dr Sarah Gilbert, saintis disebalik penemuan vaksin AstraZeneca

Sarah menolak untuk mempatenkan AstraZeneca dan jutaan wang royalti demi kemanusiaan.

Sarah pernah terlibat dalam banyak penyelidikan patogen dan virus termasuk membangunkan vaksin Ebola dan MERS. (Gambar John Cairns/University of Oxford)

Mungkin ramai yang tidak mengenali Sarah Gilbert, saintis yang sanggup mengorbankan berjuta-juta dolar semata-mata ingin menyelamatkan jutaan nyawa di seluruh dunia dengan vaksin AstraZeneca.

Dr Sarah Gilbert, 59, seorang profesor dari Universiti Oxford mencipta vaksin itu tetapi enggan mempatenkannya mahupun meraih keuntungan daripadanya.

“Sebagai individu yang mencipta vaksin yang sangat diperlukan masa kini, saya sepatutnya mengaut keuntungan yang besar. Saya menolak untuk mempatenkan vaksin mahupun (memperoleh sejumlah) royalti untuk kerja keras itu.

“Saya tidak mahu mengemukakan hak paten penuh kerana saya ingin berkongsi manfaat intelektual dengan sesiapa sahaja yang boleh menghasilkan vaksin mereka sendiri,” katanya kepada BBC.

Sesuai dengan keinginannya, Oxford dan AstraZeneca telah bersetuju untuk tidak mengambil keuntungan daripada vaksin tersebut.

Keputusan Sarah itu sekali gus menyebabkan harga AstraZeneca jauh lebih murah. Menurut BBC, kos untuk menghasilkan vaksin hanya sekitar US$4 (RM16) setiap dos, jauh lebih rendah berbanding vaksin lain.

Vaksin AstraZeneca juga dikatakan 92% berkesan dalam membendung varian Delta.

Perkongsian video yang memaparkan Sarah dan tugasnya membangunkan vaksin itu menjadi tular di media sosial baru-baru ini, mengundang pujian ramai warganet yang mengagumi kepintarannya. Malah ramai yang tersentuh serta mula menjadikan Profesor Vaksinasi dari Unversiti Oxford itu sebagai sumber inspirasi.

Sepanjang kerjayanya, Sarah berada di barisan hadapan penyelidikan vaksin membabitkan patogen dan virus, terutama pada abad ke-21.

Menurut laporan itu, lulusan University of East Anglia dan University of Hull itu sebelum ini turut terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan vaksin Ebola dan MERS.

“Sejak awal lagi, bagi kami ia adalah satu perlumbaan menentang virus, bukan persaingan dengan pemaju vaksin lain. Kami adalah sebuah universiti, dan kami melakukannya bukan kerana wang.”

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected].

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.