
Francis Poh dari Klang adalah satu lagi contoh insan berjiwa murni yang melakukan sesuatu di luar sana ketika dia sendiri berdepan masalah.
Difahamkan Poh menemui jalan terbaik bukan saja untuk mengurangkan bebanan kewangan penjaja kecil tetapi juga memberi makan mereka yang kelaparan.
Poh akan membeli makanan dari penjaja yang terjejas jualannya untuk diberikan kepada mereka yang kelaparan.
Menurut bekas artis pementasan dan usahawan itu, dia mula berdepan masalah tahun lalu, apabila perintah kawalan pergerakan (PKP) yang berlanjutan menjejaskan sama sekali industri hiburan.
“Saya tahu ada rakan seangkatan dalam industri yang langsung tidak mempunyai pendapatan tahun lalu,” katanya sambil mendedahkan dia mengalami kerugian dianggarkan mencecah 95% pada 2020.
Walaupun telah cuba melakukan yang terbaik, Poh terpaksa menutup studio tariannya kerana gagal menjana pendapatan, walaupun kerajaan memberi kelonggaran di antara beberapa PKP.

Jadi, apa yang sebenarnya mendorong beliau keluar dan menolong masyarakat setempat? Ternyata, sejak sekian lama Poh punya kecenderungan yang kuat untuk membantu kehidupan lain.
“Sejaka lapan hingga sembilan tahun lalu, saya terbabit dalam usaha menyelamatkan haiwan seperti anjing, kucing dan juga reptilia,” katanya, yang kadang-kala melepaskan ular yang ditangkapnya kembali ke habitat asal.
Namun, akibat tekanan kewangan pada 2020 menyebabkan Poh didiagnosis dengan kemurungan, sesuatu yang berjaya ditanganinya sejak itu.
“Pada 27 Jun, apabila PKP 3.0 diumumkan, saya tahu saya akan mengalami serangan panik lain. Oleh itu kali ini, saya memutuskan untuk mengalihkan fokus dan tenaga saya untuk membantu orang lain di sekeliling saya.”
Sisi positif baharunya itu dikuatkan lagi oleh rakan-rakan yang memutuskan untuk menyumbang sejumlah RM20,000 dalam inisiatif amalnya.
Sokongan tidak putus-putus yang diterimanya telah “menghidupkannya kembali” katanya, dan dia tetap berharap akan dapat melakukan lebih banyak lagi untuk menolong orang lain.

“Sebagai seorang usahawan, saya faham dengan pemilik perniagaan yang bergelut pada saat getir ini, terutama penjaja kecil. Jadi, saya ingin menolong mereka terus bertahan dan mencegah mereka daripada memikirkan soal bunuh diri ataupun serangan panik,” katanya.
“Walaupun ia hanyalah sumbangan sekali sahaja, saya tahu ia memberi kesan dalam kehidupan mereka.”
Usaha amal Poh itu cukup mudah, dia mengenal pasti penjaja dan restoran yang sedang bergelut di kawasan kejiranannya, membuat pesanan dalam jumlah besar yang kemudiannya diagihkan semula kepada mereka yang kurang bernasib baik.
Penjaja makanan berskala kecil ini merangkumi penjaja burger di tepi jalan, restoran mamak dan kopitiam.
“Oleh kerana saya mengenali kebanyakan mereka secara peribadi, saya juga tahu perniagaan mereka jatuh sekurang-kurangnya 50%,” jelas Poh, sambil mengakui banyak perniagaan ini masih menanggung kos sewa bulanan penuh.

Walaupun berdepan banyak cabaran, usaha Poh telah membuatkan ramai yang kembali tersenyum. Seperti nasib seorang penjual nasi lemak yang sangat berterima kasih kepadanya kerana membeli seluruh stok makanannya, untuk diberikan kepada orang miskin.
Menurutnya, dia telah membantu kira-kira lima pemilik gerai dan memberi makan kepada 500 hingga 600 orang yang lapar setakat ini. Dia juga merancang untuk membantu sehingga 30 gerai lagi dalam masa terdekat.
Dia berharap usaha kecilnya itu akan memberi inspirasi dan mendorong lebih ramai rakyat Malaysia untuk bangkit dan menyahut seruan dalam membantu mereka yang memerlukan.
“Walaupun anda berseorangan, anda masih boleh membuat perubahan dan melakukan sesuatu mengenainya,” serunya.
Sokongan yang tidak putus-putus terhadap kerja amalnya cukup menggalakkan. “Rakyat Malaysia masih punya harapan dan kepercayaan untuk menghadapi masa-masa sulit ini, bersama.”

Seperti kebanyakan rakyat Malaysia lain, Poh berharap keadaan akan kembali normal. Dia juga berharap dapat kembali kepada minat sebenarnya menyelamatkan anjing, kucing terutama reptilia.
Namun sementara itu, dia tetap setia dengan mereka yang berdepan kesusahan dan kurang bernasib baik di kawasan kejiranannya.
“Bila boleh, saya akan bantu,” katanya.
Bagi mereka yang ingin menyokong usaha amal Francis Poh, anda boleh menghubunginya terus melalui laman Facebooknya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]