
Nora al-Matrooshi dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), adalah wanita Arab pertama yang bakal menyertai latihan untuk menjadi angkasawan.
Beliau adalah seorang daripada dua warga UAE yang terpilih berbanding ribuan pemohon lain – sebahagian usaha negara Teluk itu dalam penerokaan angkasa lepas.
Jurutera mekanikal berusia 28 tahun dari Sharjah yang kini sebahagian daripada sepasukan tujuh angkasawan warga UAE itu menyimpan impian untuk ke angkasa lepas sejak kecil lagi.
Walaupun masih belum ada misi ke angkasa dijadualkan buat masa ini, beliau sangat berharap akan dapat terbang ke sana dan meneruskan tradisi eksplorasi yang pernah dimulakan nenek moyangnya sebagai pelayar.
“Keluarga di sebelah ibu saya adalah pelayar. Mereka adalah penjelajah lautan. Perkataan ‘astronaut’ pula bermaksud ‘pelayar bintang’ dalam bahasa Greek,” katanya dalam nada lembut.
Matrooshi dan rakan senegaranya, Mohammad al-Mulla, 33, akan ke Amerika Syarikat akhir tahun ini untuk menyertai latihan di Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) di Pusat Angkasa Johnson.
UAE masih baru dalam bidang penerokaan angkasa namun pantas dalam mencari peluang. Pada September 2019, negara yang kaya dengan minyak itu menerbangkan angkasawan pertamanya dalam misi lapan hari menaiki roket Soyuz dari Kazakhstan.
Pada September 2020, Abu Dhabi berkata ia merancang untuk melancarkan sebuah perayau (rover) tanpa manusia ke bulan menjelang 2024. Ia bakal menjadi penerokaan pertama sebuah negara Arab ke satelit bumi.
“Kalau saya boleh buat, anda juga boleh. Jika belum ada orang yang pernah melakukannya sebelum anda, maka teruskan dan jadilah yang pertama,” katanya lagi.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]