
Pendakwah bebas Ustaz Ebit Lew diberi penghormatan menerima anugerah sebagai Duta Muhibbah oleh kerajaan Palestin.
Perkara itu dimaklumkan beliau menerusi kemas kini status di laman Facebooknya malam semalam.
Dalam status tersebut, beliau meluahkan rasa terharu dan syukur di atas penghargaan tersebut.
“Terharu sebak syukur rasa bila dianugerahkan sebagai Duta Muhibbah Palestin / Palestine Goodwill Ambassador.
“Saya cuma buat sedikit usaha berbanding ramai orang. Kami dijemput meeting (mesyuarat) bersama Menteri dan Timbalan Menteri dari Kementerian Luar Palestin, Kementerian Pembangunan Palestin, Kementerian Kebudayaan dan Belia.
“Mereka menyambut dan melayan dengan sangat baik. Terharu rasa. Allahuakbar. Kita cuma orang kecil dan bukan sesiapa pun. Cuma niat nak menolong sahaja,” tulis beliau.
Jelas Ebit, semasa pertemuannya dengan wakil kerajaan Palestin itu, mereka turut berbincang untuk mengadakan program di Palestin pada masa akan datang.
“Saya bersetuju bekerjasama dengan Kementerian Luar untuk projek ‘Cultural Exhibition of Heroism and Sacrifice’.
“Demi maslahat anak muda remaja di sana. Identiti dan tanah mereka diambil. Berapa banyak telah terkorban. Ada berapa banyak keluarga sudah tiada keturunan mereka. Semuanya syahid.
“Berapa banyak bangunan diletupkan. Anak kecil terkorban. Jadi, ini bina satu tempat untuk mengingati jati diri mereka dan semua yang telah berkorban,” katanya lagi.
Ebit Lew kini dalam misi kemanusiaan untuk rakyat Palestin berlepas ke Gaza bagi menyampaikan sumbangan kepada rakyat Palestin yang terjejas akibat serangan Israel.
Beliau yang berjaya memasuki Gaza pada Selasa sebelum ini mengakui air matanya tidak dapat dibendung lagi usai mengaminkan doa sejurus bantuan disampaikan.
Menurut Ebit Lew, bantuan berupa barangan keperluan serta ubat-ubatan sebanyak dua treler dan beberapa buah lori dihantar terus ke hospital di Gaza untuk disalurkan kepada yang memerlukan.
Ketika di Palestin, Ebit Lew turut berkesempatan memulakan Soup kitchen yang menyediakan makanan percuma kepada 200 asnaf.
“Kami akan masak dan bagi free (percuma) untuk 200 orang. Akan diteruskan walau kami dah balik.”
“Kami akan beri bayaran secara bulanan pada tukang masak di sini,” katanya lagi.
Pasukan Ebit juga adalah yang pertama di dunia yang dibenarkan masuk ke Gaza melalui pintu Rafah sejak peperangan 11 hari pada Mei lalu.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]