
Pendakwah bebas, Ebit Lew yang baru saja dibenarkan masuk ke Gaza, Palestin untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan, mewujudkan Rumah Kasih Umat sebagai tempat tinggal anak yatim dan asnaf di sana.
Dia menyewa dua rumah yang dilengkapi kemudahan empat bilik selesa bagi menempatkan 10 orang anak yatim sebagai tempat berlindung serta kegunaan menjalankan kelas dan aktiviti mereka.
Perkembangan terkini itu dimaklumkan menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun Facebooknya.
“Sebak sayu sangat rasa. Saya menyewa dua rumah untuk dijadikan Rumah Kasih yang mempunyai empat bilik luas dan selesa.
“Setakat ini akan menjaga 10 anak yatim dan mereka yang susah untuk dijadikan sebagai tempat tinggal serta kelas aktiviti,” tulisnya.
Pada masa sama, dia turut berkongsi pengalaman ketika menziarahi dan memberi sumbangan kepada seorang ibu tunggal yang mempunyai tujuh anak kecil termasuk bayi.
Katanya, dia begitu sedih melihat keadaan wanita itu yang mati syahid dalam serangan bom dilancarkan rejim zionis baru-baru ini.
“Saya lihat anak kecil ini hati jadi tidak tahan untuk menangis. Saya sudah sebulan tidak bertemu anak, isteri dan keluarga pun sudah terasa sayu. Inikan pula anak kecil ini yang kehilangan ayah mereka.
“Tetapi dia masih boleh tersenyum dan berasa seronok apabila saya membawa hadiah. Terus semuanya tersenyum. Sempat bermain-main terbang dengan anak-anak ini,” katanya.
Menceritakan lanjut, Ebit berkata dia akan menggaji seorang guru untuk mengurus dan mengendalikan rumah itu bagi memastikan semua anak yatim terbabit dijaga dengan baik.
Katanya, dia bersyukur dapat menyumbang kepada penduduk Gaza selepas ribuan rakyatnya kehilangan tempat tinggal, kelaparan dan kematian ahli keluarga tersayang.
“Allahuakbar. Berat rasa hati. Ketika saat saya sendiri dalam diberi pelbagai nikmat. Ya Allah ampunkanlah diriku ini.
“Terima kasih Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Wisma Putra. Menjunjung kasih Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang bersama membantu misi ini. Terima kasih tuan puan semua yang sentiasa menyokong dan mendoakan. Terima kasih Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin,” tulisnya lagi.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]