
Bukan itu saja, mereka juga perlu mempunyai kekuatan memori untuk menghafal koreografi sekali gus meletakkan golongan penari profesional ini dalam kelas mereka tersendiri.
Bayangkan, betapa tingginya ketahanan yang perlu ada bagi setiap diri mereka untuk melakukan persembahan tarian tanpa henti selama 35 jam.
Ini yang dilakukan oleh seramai 36 penari Malaysia yang berjaya memecah rekod kebangsaan dan antarabangsa, baru-baru ini.
Aksi mengagumkan itu dilakukan menerusi acara Suaranatya yang bermula pada jam 8 pagi, 1 Mei lalu dan ia berterusan sehingga jam 7 petang keesokan harinya.
Ia dianjurkan oleh Pertubuhan Keseniaan dan Kebudayaan SRFA serta Pusat Seni dan Muzik Sri Rathakrishanan.
Semua penari wanita adalah dari Pusat Seni dan Muzik Sri Rathakrishanan yang diasaskan oleh Pengetuanya, Nalini Rathakris.
Mereka kemudiannya mendapat pengiktirafan rasmi dalam Malaysia Book of Records (MBR) dengan melakukan ‘Persembahan Tradisional Tanpa Henti Secara Berganti-Ganti’ dan ‘Penyertaan Wanita Paling Ramai bagi Tarian Barathanatyam Secara Berganti-Ganti’.
Kumpulan itu juga turut tercatat dalam Asia Book of Records kerana melakukan ‘Tarian Tradisional Paling Lama Secara Berganti-Ganti’.
FMT sempat menemubual tiga penari yang menyertai acara tarian bersejarah itu, baru-baru ini.

Sambil meluahkan rasa bangga terhadap kumpulan penarinya, Teesha Nanthini, 16, mendedikasikan kejayaan itu kepada Nalini yang mencipta konsep tarian mereka.
“Sebaik diberitahu mengenainya, kami semua agak terkejut. Kita tidak tahu bagaimana untuk melakukan persembahan seperti ini dalam keadaan pandemik,” katanya.
Disebabkan terdapat beberapa sekatan yang dilaksanakan akibat Covid-19, Teesha masih ingat tidak ada seorang pun penari yang yakin boleh melakukannya.
“Bagaimanapun, sokongan dan motivasi daripada Nalini akhirnya menimbulkan perasaan teruja untuk kami menyertai acara besar seperti ini,” katanya.
Tambahnya, dia dan rakan penari turut berbangga dapat memainkan peranan mereka dalam memulihara warisan tarian tradisional India.
“Barathanatyam adalah salah satu tarian tertua berasal dari India Selatan. Dalam keadaan dunia yang semakin moden ini, kita harus memuliharanya terutama bagi generasi muda,” katanya.
Manakala rakan penarinya, Mahalakshmi Sukumaran, 22, pula berkata, Pusat Seni dan Muzik Sri Rathakrishanan bukan satu nama asing kerana pernah mencipta beberapa kejayaan sebelum ini.
“Ini bukan kali pertama, kerana sebelum ini juga kami pernah menyertai dan memenangi pelbagai pertandingan tarian tempatan dalam tempoh beberapa tahun lalu,” katanya.
Dengan cabaran fizikal itu, bagaimana semua penari boleh bertahan melakukan persembahan selama 35 jam tanpa henti?

Penari berpengalaman, Harrshini Kalaivaanan, 16, sempat menjelaskan bagaimana keadaan di belakang pentas dan mereka begitu berhati-hati supaya tidak terlampau menggunakan tenaga kerana persembahan itu dilakukan secara berterusan.
“Setiap penari melakukan tarian 35 jam ini dilakukan secara berganti-ganti,” katanya.
Kriteria utama yang ditetapkan oleh MBR ialah mereka tidak boleh membiarkan pentas kosong dan penari itu perlu melakukan persembahan secara berterusan.
“Kita mempunyai peserta muda seawal usia lapan tahun. Daya tumpuan mereka agak pendek dan mudah gelisah, jadi kami membuat pelbagai aktiviti di belakang pentas untuk mengisi masa,” kata Teesha.
Susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di tempat penganjuran acara itu, Nalini melatih penarinya secara maya dan persembahan juga dilakukan dengan mematuhi ‘prosedur operasi standard’ (SOP).
Walaupun penonton tidak ramai namun kumpulan penari itu memastikan persembahan itu dapat ditonton menerusi siaran langsung di media sosial.
Namun, mereka tetap berbangga dengan kejayaan yang dicapai dan merancang untuk melakukan lebih banyak acara selepas ini.
“Kami yakin dengan kualiti, usaha serta dedikasi yang dicurahkan untuk melakukan persembahan ini.
“Apabila pandemik berakhir nanti, kami ingin mengajak orang ramai memberi sokongan dengan membeli tiket dan menonton persembahan serta menguar-uarkan kepada yang lain mengenai usaha kami mengadakan tarian terbaik,” kata Teesha.
Ikuti perkembangan terkini Pusat Seni dan Muzik Sri Rathakrishanan dan projek terbaharu mereka di YouTube, Facebook dan Instagram.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]