
Ketika sebahagian besar penduduk Pulau Pinang masih lagi lena diulit mimpi, mereka sudah pun terjaga pada jam 4 pagi dan bersedia untuk membakar pastri sepanjang hari.
Danny Yeong Shi Hoe, 40 dan Marcus Tan, 40, yang dikelilingi dengan pelbagai bahan membuat pastri seperti mentega dan tepung kemudiannya terus mula membakar pastri mereka sehingga ke petang.

Sebaik melangkah masuk ke Emily Darling Cafe, pengunjung bagaikan dibawa terus dibawa ke kota Paris dengan haruman pastri yang masih panas dan sedia untuk dinikmati.
Seawal jam 5 pagi, Yeong dan Tan sudah pun bertungkus lumus dengan adunan mentega dan gula di dapur untuk menghasilkan pelbagai pastri yang dihidangkan sehingga jam 6 petang.
Walaupun suasana kafe sunyi sepi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh dilaksanakan sejak 14 Mei lalu, namun dapur Emily Darling Cafe tetap sibuk apabila menerima banyak tempahan pastri secara atas talian.

Sebelum terjun ke bidang pastri, Yeong sebenarnya menabur khidmat kepada pesakit yang ingin mendapatkan rawatan mata.
“Ini adalah dunia baru buat saya kerana sebelum ini saya bekerja sebagai pakar optik selama 20 tahun.
“Namun, hidup ini hanya sekali dan saya berkata kepada diri untuk meneruskan impian ini dan anda tidak tahu apa yang berlaku di masa hadapan nanti,” katanya yang menjelaskan mengapa dia sanggup meninggalkan kerjaya itu untuk mengejar impian.
Sebelum meletakkan jawatan pada Februari lalu, Yeong menguruskan 13 cawangan kedai optik, A-Look Eyewear dan biarpun diminta untuk terus bekerja, dia nekad dengan keputusan bagi smengubah haluan.

“Tahun lalu, Tan tiba-tiba mengajak saja menyertai kelas membuat roti masam di Kuala Lumpur dan daripada situ saja mula terjebak,” kata Yeong yang menjelaskan bahawa dunia optik dan pastri mempunyai perbezaan amat besar sekali.
Tan yang berada berhampiran kami, terus ketawa sambil berkata yang dia sebenarnya adalah pencinta makanan dan minat menghasilkan roti masam.
Bagaimanapun, suasana yang dilaluinya ketika ini bukanlah satu perkara biasa memandangkan dia banyak menghabiskan masa menguji resepi baru di dapur ketika bekerja sebagai pereka grafik untuk Flavour’s iaitu salah sebuah majalah makanan terkemuka di Malaysia.

“Sebaik tamat kelas, kami memandu pulang ke Pulau Pinang dengan yis pemula dan ia adalah benda paling berharga yang dibawa pulang,” kata Yeong.
Dia turut ketawa ketika menceritakan bagaimana reaksi ibu bapanya apabila melihat yis yang disimpan dalam sebuah balang.
Selain yis, kemahiran teknikal yang dipelajari mereka juga amat berharga dan tidak lama selepas pulang ke Pulau Pinang, seluruh rakyat Malaysia melalui PKP pertama mereka.
Ketika terkurung di rumah, dua rakan itu menghabiskan masa berjam-jam untuk mengasah kemahiran membuat roti masam dan selepas melihat kegagalan beberapa kali, mereka akhirnya berjaya mendapat hasil yang sempurna.

“Kami hanya tahu membuat roti masam dan baru-baru ini kami menyertai lebih banyak kelas membuat pastri lapis.
“Proses membuat doh pastri lapis agak cerewet dan demi hasil terbaik untuk pelanggan, bil elektrik kami pun turut melambung sama,” katanya yang menjelaskan suhu sejuk amat penting bagi memastikan lapisan mentega antara pastri dalam doh tidak menjadi cair.

Menerusi kemahiran baru mereka, Yeong dan Tan semakin hebat menghasilkan pastri dan mula mencuba pelbagai jenis pastri yang enak.
Emily et Coco adalah ciptaan terbaru Tan dan croissant Perancis mendapat sambutan hangat di kalangan pelanggan apabila menggunakan inspirasi kuih koci dengan inti kelapa dan gula Melaka.
Croissant ini begitu unik sekali apabila pelanggan boleh merasai inti kelapa yang diselitkan dalam pastri berkenaan.
Selain Emily et Coco, kafe itu turut menyediakan pelbagai pastri pencuci mulut lain seperti Peachy Queen serta Quiche Emily.

Anda mesti tertanya-tanya, siapakah sebenarnya individu bernama Emily?
Terdapat kisah lucu di sebalik pemilihan nama kafe itu kerana ia memakan masa lama untuk mendapat kelulusan pihak berkuasa.
“Saya suka dengan nama Emily tetapi tidak tahu mengapa permohonan kami tidak diluluskan buat kali pertama.
“Emily bermaksud ‘every minute I love you’,” katanya yang terpaksa menjelaskan maksud nama itu kepada pihak berkuasa.
Kafe terbaru yang berdiri megah di George Town ini menjadi bukti keazaman tinggi dimiliki oleh dua lelaki ini yang kini mencurahkan sepenuh hati bagi menghasilkan pastri paling enak untuk dinikmati pelanggan mereka.

Jika ingin menghadiahkan pastri enak kepada orang tersayang atau menikmatinya sendiri, anda boleh menghubungi Yeong menerusi WhatsApp di 012- 406 8847 untuk penghantaran terus ke rumah.
Emily Darling Cafe
188 Penang Road,
10200 George Town, Pulau Pinang
Waktu Beroperasi: 10 pagi – 6 petang (Setiap hari kecuali Selasa)
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]