
“Mana abang topi kuning?,” soal kanak-kanak berusia empat tahun kepada si ayah sambil matanya ligat mencari kelibat sahabat baiknya yang dikenali ketika menjalani kuarantin di Pusat Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Stadium Badminton Ipoh, Perak, baru-baru ini.
Menceritakan kepada Bernama, Saufi Ahmad, 34, berkata, soalan itu kerap ditanya anaknya, Muhammad Aqeel Syahmi sama ada ketika berada di PKRC atau pun selepas pulang ke rumah.
“Hubungan anak saya dan sahabat baiknya itu ibarat isi dan kuku kerana mereka sering meluangkan masa bersama sejak hari pertama kami sekeluarga dimasukkan ke PKRC.
“Apabila sahabatnya keluar lebih awal daripada kuarantin, Aqeel akan bertanya di mana abang topi kuning. Malah, sehingga sekarang dia masih bertanya kerana rindu,” kata Laskar Kanan Maritim itu.
Menurutnya, setiap kali rindu, anaknya akan menonton semula koleksi video kenangan mereka.
Sebenarnya, sahabat baik yang dimaksudkan itu hampir sebaya dengan si ayah namun Allif Ahmad Nazli, 33, tidak kekok melayani kerenah kanak-kanak terbabit.
Sementara itu, Allif berkata, dia rapat dengan Aqeel kerana katil mereka terletak berdekatan dan sentiasa berbual-bual serta mengadakan aktiviti bersama-sama.
“Aqeel dan keluarga iaitu ayah, emak dan kakaknya yang berusia tujuh tahun dimasukkan ke PKRC ketika hari ketujuh saya berada di situ.
“Setiap hari, kanak-kanak ini akan datang ke katil dan mengajak saya bermain. Dia mudah kenal saya kerana sering memakai topi kuning.
“Saya masih ingat pada hari terakhir di situ, Aqeel berlari datang dan peluk saya. Dia minta saya jangan pulang dulu, jika tidak tiada orang bermain bersamanya. Sehingga kini saya masih berhubung dengan keluarga Aqeel,” kata pembantu kedai peralatan sukan itu yang dihubungi Bernama.
Selain itu katanya, pengalaman dijangkiti Covid-19 adalah pengalaman yang menakutkan, tambahan pula dia tidak bergejala selain tidak tahu sumber yang menjangkitinya.
“Namun, kehadiran Aqeel dapat meredakan keresahan saya,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]