Bekas jurutera kini cari kepuasan bantu kanak-kanak berisiko

Bekas jurutera kini cari kepuasan bantu kanak-kanak berisiko

Koggelavani kini sibuk mengendalikan perusahaan sosial, GoodKids bersama bapa saudara, Balasubramaniam Somasundram serta sepupunya, Naaraayini Balasubramaniam bagi membantu kanak-kanak berisiko.

(Dari kiri) Pengasas GoodKids, Naaraayini Balasubramaniam, Balasubramaniam Somasundram dan Koggelavani Muniandy. (Gambar GoodKids)
PETALING JAYA:
Sama seperti remaja lain seusianya, Putri, 13, begitu menikmati alam persekolahan apa tah lagi ketika mengisi waktunya dengan bermain dram.

Namun, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan remaja itu murung. Tidak dapat ke sekolah, bermain drum dan bersama dengan rakan-rakan malah, tanpa akses internet hidupnya begitu ‘kosong’ dari dunia luar.

Kini, dia sibuk menguruskan rumah dengan memasak dan menjaga adik-beradik yang lain manakala ibunya pula keluar mencari rezeki untuk keluarga.

Nasib mereka kemudiannya mendapat perhatian daripada insan prihatin yang memberi sumbangan peralatan melukis dan sebuah telefon pintar.

Lebih menggembirakan lagi, mereka turut mengadakan kelas secara atas talian bagi memberi galakan kepadanya meluahkan perasaan menerusi aktiviti seni.

Mereka digelar sebagai GoodKids iaitu sebuah badan sosial yang membantu remaja berisiko untuk membina semula keyakinan diri menerusi seni persembahan.

Ia diasaskan oleh bekas jurutera, Koggelavani Muniandy yang melakukannya bersama bapa saudara, Balasubramaniam Somasundram serta sepupunya, Naaraayini Balasubramaniam.

GoodKids menganjurkan kelas untuk membantu remaja berisiko membina semula keyakinan diri menerusi seni persembahan. (Gambar GoodKids)

“Saya bekerja sebagai jurutera selama lima tahun. Ia adalah satu pengalaman yang menarik tetapi masih tidak ada kepuasan,” kata Koggelavani sambil menambah dia mengambil masa setahun untuk mencari minat sebenar sebelum menyedari dirinya mempunyai bakat mengajar.

Dia mula merasai pengalaman sebagai pengajar ketika mengadakan kelas seminggu sekali dengan memberi bimbingan kepada kanak-kanak dari rumah perlindungan.

“Bapa saudara yang juga seorang pakar psikologi dan kaunseling yang mengendalikan sebuah program untuk kanak-kanak berisiko di Ampang bersama sepupu saya.

“Mereka sudah melakukan kerja sukarelawan ini sejak beberapa tahun lalu,” katanya yang memandang tinggi terhadap bapa saudaranya sejak dia masih kecil lagi.

Beberapa pelajar bermain dram menggunakan peralatan dihasilkan daripada bahan kitar semula. (Gambar GoodKids)

Pengasas GoodKids terus menyedari bahawa metadologi membabitkan alat muzik, bunyi serta lakonan mendapat sambutan positif daripada ibu bapa dan guru.

“Pada 2016, kami membuat keputusan untuk menjadikan GoodKids sebagai sebuah pertubuhan rasmi. Kami berjaya menyertai program pemacu MAGIC dan mula membantu kanak-kanak berisiko daripada keluarga B40 dan Orang Asli,” katanya.

Kanak-kanak begitu seronok melakukan aktiviti mewarna. (Gambar GoodKids)

Apa Pandang-Pandang?

Sejak pandemik Covid-19 melanda, kelas secara fizikal terpaksa dibatalkan dan pasukan itu sedar bahawa mereka perlu mengubah suai kaedah pengajaran.

“Pada pertengahan April, kami sedar keadaan mental kanak-kanak ini terjejas dan mereka bertanyakan sama ada boleh kembali bermain dram, berjumpa guru selain rindukan suasana persekolahan,” kata Koggelavani.

Program GoodKids kemudiannya berpindah secara atas talian dan mula menghantar pelbagai peralatan melukis seperti kertas lukisan, krayon, pensil warna dan cat air kepada rumah kanak-kanak terbabit dan berharap ia boleh digunakan mereka sebagai cara melepaskan tekanan.

Sebuah karya seni yang dihasilkan oleh kanak-kanak GoodKids. (Gambar GoodKids)

“Jika anda melihat sebahagian daripada karya seni Aku Pandang-Pandang di galeri laman sesawang kami, anda akan ternampak lukisan pinggan besar bersama makanan, kanak-kanak melukis mi segera dalam cawan dan ibu bapa yang sedang bertengkar,” katanya dengan nada sedih.

Usaha mereka tidak berhenti di situ apabila kini cuba mengumpul dana sebanyak RM8,000 untuk menyediakan telefon untuk 50 pelajar.

“Apabila kami memulakan program GoodKids pada Februari setiap tahun, kami akan mengadakan pertunjukan bakat pada Ogos dan September. Apabila pandemik melanda, kami tidak dapat melakukan acara terakhir ini yang menyeronokkan untuk pelajar,” katanya.

Mereka kemudiannya berbincang semula dan muncul dengan rancangan alternatif, iaitu sebuah pameran seni kanak-kanak berkenaan.

Salah satu lukisan kanak-kanak ini yang menekankan kepentingan menjaga kebersihan. (Gambar GoodKids)

“Namun, sejak PKP dan kes Covid-19 juga meningkat, pameran secara fizikal sukar dilakukan. Kemudian, kami mengumpul semua karya seni dan melihat terdapat satu jalan cerita menarik daripada mereka. Maka, lahirlah Apa Pandang-Pandang?

“Kami menggabungkan semua karya seni ini bersama modul ekspresi diri yang dihasilkan pada awal tahun lalu dan bertanyakan kepada kanak-kanak ini, jika mereka dikurniakan dengan kuasa adiwira, bagaimana agaknya cara untuk mengatasi cabaran ketika pandemik? ” jelas Koggelavani.

Puteri Ka-Ching adalah salah seorang adiwira dilukis oleh kanak-kanak ini. (Gambar GoodKids)

Menerusi karya seni kanak-kanak berkenaan, mereka sedar bahawa terdapat ramai lagi yang lain memerlukan ruang sama untuk meluahkan perasaan, terutamanya menerusi medium seperti itu.

“Apabila kami melihat bagaimana seni visual ini berfungsi di kalangan kanak-kanak, kami mahu kanak-kanak lain mendapat akses yang sama. Sebab itu kami membangunkan Akademi Digital GoodKids,” katanya.

GoodKids sedang mengumpul dana untuk membolehkan mereka menyediakan modul itu secara atas talian untuk kanak-kanak berkenaan yang bukan hanya sebagai cara mengekspresi diri tetapi membina ketahanan, kemahiran membuat keputusan serta berfikir secara kritis.

Jadi, secara individu, bagaimana anda boleh membantu?

Menurut Koggelavani, sebarang bentuk bantuan wang tunai akan digunakan untuk menubuhkan akademi itu atau lebih baik lagi jika anda sendiri boleh menjadi rakan dan mentor GoodKids.

“Jika anda mempunyai kebolehan membimbing kanak-kanak yang berisiko ini, sila hubungi kami. Sekiranya setiap daripada kita mempunyai kebolehan untuk membantu seorang kanak-kanak dan membimbing mereka, ia akan membawa satu perubahan besar.

“Orang sering melihat bahawa tugas mengajar dilakukan secara satu hala tetapi mereka tidak sedar ia berfungsi secara dua hala. Kami di GoodKids sentiasa belajar daripada kanak-kanak ini dan ia membantu saya menjadi individu yang lebih baik,” kata Koggelavani.

Anda boleh melihat karya seni kanak-kanak ini di laman sesawang Apa Pandang-Pandang? dan jangan lupa melawat sesawang GoodKids Digital Academy untuk mendapatkan maklumat lanjut. Anda juga boleh melawat laman Facebook dan Instagram GoodKids.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.