
Petaling Jaya: Ketika bekas pramugari sebuah syarikat penerbangan, Lavania Nandini mula mendengar laporan mengenai penularan virus Covid-19 awal tahun lalu, dia cuba bersikap positif dan memberi fokus terhadap kesihatan diri.
Malah, dia masih tenang walaupun terpaksa melihat banyak pesawat tidak dapat melakukan penerbangan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menganggap ia adalah peluang untuk berehat seketika.
Namun, waktu rehat itu kemudiannya berterusan sehingga tiga bulan sebelum dikejutkan dengan surat pembuangan pekerja.
Wanita berusia 27 tahun itu berkata kepada FMT, perasaannya hancur selepas mengetahui perkhidmatannya selama tujuh tahun terpaksa ditamatkan.
Bagaimanapun, tempoh rehat tiga bulan yang dilaluinya memberi peluang untuk dia melakukan satu peralihan baru dan tidak merasakan dirinya berdepan pengalaman itu secara bersendirian.

Lavania mendapat inspirasi daripada ibunya, Fiona L. Tennakoon yang mengusahakan perniagaan secara atas talian, Mummy’s Delights di Nilai, Negeri Sembilan dengan mengambil tempahan kek daripada rakan baik dan jiran.
“Saya memberikan beberapa rakan untuk mencuba cream puff ibu dan keesokan hari mereka terus menghubungi saya memberitahu ianya terlalu sedap dan mahu merasainya lagi.
“Saya sedar bahawa saya sebenarnya boleh membantu ibu memasarkan produknya menerusi akaun media sosialnya yang sudah lama wujud,” katanya.

Pada mulanya, Lavania hanya mengendalikan akaun media sosial, melakukan kerja pemasaran dan mengambil gambar untuk Mummy’s Delights tetapi sejak menerima banyak tempahan, dia perlu terbabit secara langsung dan kini sibuk membantu ibu membuat kek, kek cawan serta pelbagai pastri enak.
“Saya bukan seorang pembuat kek,” katanya sambil menyedari dia tidak boleh membiarkan ibunya bekerja sendirian menyebabkannya mempelajari kemahiran membuat kek dan pastri.

Menurut Lavania, produk paling laris mereka ialah cream puff atau dikenali sebagai baby puff.
Baby puff sebenarnya adalah cream puff bersaiz lebih kecil dan ia turut didatangkan bersama sos coklat.
“Anda boleh mencurahkan sos coklat ke atasnya dan jika mahu, anda boleh mencelupnya sekali!” kata Lavania.

Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Lavania dan keluarga tidak dapat meraikan hari jadi adiknya yang ke-21 menyebabkan dia mengadakan majlis itu sendiri.
Dia menggunakan daya kreativitinya sendiri untuk menghias meja serta mendirikan khemah kecil bagi mewujudkan suasana indah sebuah majlis yang kemudiannya mendapat perhatian ramai netizen.
“Netizen yang melihat gambar itu di media sosial memuji hiasan dihasilkan. Mereka meminta sama ada saya boleh melakukan perkara sama di rumah mereka. Sehingga kini, saya sudah membuat hampir 10 hiasan meja untuk memuatkan empat hingga enam orang,” katanya.

‘Party with Lava’ sering menjadi pilihan pelanggan untuk mendapatkan khidmat perancang majlis dan lebih mudah lagi apabila mereka boleh menempah kek serta daripada Mummy’s Delights.
Menurut Lavania, pengalaman awalnya ketika memulakan perniagaan itu tidaklah begitu indah apabila ramai yang kurang memberi sokongan diperlukan.

“Mereka tidak memberikan ruang kepada saya untuk menerima keadaan selepas dibuang kerja. Sebaliknya, mereka terus memberi tekanan supaya saya memikirkan perancangan seterusnya,” katanya yang tetap bersyukur dengan sokongan keluarga dan pasangannya.
Katanya, dia tidak merancang untuk kembali bertugas dalam bidang penerbangan pada masa hadapan memandangkan situasi pandemik ini membuatkan dirinya berjaya keluar dari zon selesa dengan menerokai bidang keusahawanan.
“Saya tahu ramai di antara rakan sekerja yang ingin kembali bertugas dan diharapkan mereka dapat berbuat demikian serta berasa gembira semula,” katanya.
Teringin untuk menikmati cream puff?Anda boleh membuat tempahan di Mummy’s Delights melalui laman Instagram atau Facebook atau WhatsApp di talian +60 10 238 5832.
Anda juga boleh lawati akaun media sosial Party with Lava untuk menempah perkhidmatan perancang majlis di rumah.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]