
Seorang guru dari Hong Kong muncul sebagai pendaki Gunung Everest wanita terpantas apabila memecahkan rekod yang selama ini dipegang oleh pendaki Nepal, Phunjo Jhangmu Lama.
Tsang Yin-hung, 45, berjaya menghabiskan pendakian hingga ke puncak dalam tempoh 25 jam 50 minit berbanding 39 jam 6 minit yang dicatat oleh Phunjo sebelum ini.
“Saya lega dan gembira kerana niat sebenar bukan untuk memecahkan rekod. Saya lega kerana boleh membuktikan kejayaan mendaki gunung ini kepada semua rakan dan pelajar,” katanya.
Menurutnya, dia mula berlatih mendaki gunung kira-kira 11 tahun lalu dan kali pertama mendaki Gunung Everest adalah pada 2017.
Wanita itu sebenarnya dilahirkan di China dan berpindah ke Hong Kong ketika berusia 10 tahun.
Tsang berkata, kehidupan keluarganya yang begitu miskin menyebabkannya cuba mengambil kesempatan untuk menyertai aktiviti sukan secara percuma di sekolah.
“Ketika masih kecil, saya sering berlari di kawasan pergunungan, bermain bola keranjang dan menyertai pelbagai aktiviti sukan lain,” katanya.
Menceritakan pengalaman terbaru itu, katanya, dia tidak bertemu dengan mana-mana pendaki ketika dalam perjalanan ke puncak dan hanya bertembung dengan pendaki yang melakukan perjalanan turun.
“Untuk tiba ke puncak, ia bukan bergantung kepada keupayaan anda semata-mata tetapi semangat kerjasama. Selain itu, nasib seseorang juga memainkan peranan penting,” katanya.
Menurut Kementerian Pelancongan, terdapat sekitar 350 orang menawan puncak pada musim bunga ini, pada masa sama kumpulan pendaki turut bergelut menempuh cabaran cuaca buruk dan penularan jangkitan Covid-19.
Rekod lain yang berjaya dicipta adalah daripada warga Amerika Syarikat (AS) yang juga pesara peguam, Arthur Muir, 75, yang menjadi pendaki Gunung Everest tertua setakat ini.
“Anda sedar betapa besarnya gunung ini, betapa bahayanya ia dan apa saja perkara buruk boleh berlaku. Ya, ia menjadikan anda begitu gemuruh, gelisah dan ketakutan,” kata datuk kepada enam cucu ini.
Sebelum ini, rekod itu dipegang oleh Bill Burke pada 2009 yang berusia 67 tahun manakala pendaki lelaki terpantas pula ialah Lakpa Gelu yang menawan puncak dalam tempoh 10 jam 56 minit.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]