
Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang menetap di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) mencipta sejarah apabila menjadi ahli termuda menyertai Mensa kerana mencapai tahap IQ 146.
Mensa adalah sebuah pertubuhan disertai oleh masyarakat mempunyai tahap IQ yang tinggi di seluruh dunia.
CNN melaporkan, Kashe Quest mempunyai tahap kecerdasan minda luar biasa apabila mampu menamakan dan mengenal pasti semua 50 negara di AS hanya dengan melihat kepada bentuk dan lokasinya serta mengingati seluruh jadual berkala.
Bapanya, Devon Athwal berkata, Kashe juga kini sedang mempelajari Bahasa Sepanyol dan Punjabi serta cuba mentafsir bentuk corak.
“Dia sentiasa menunjukkan sesuatu dan cuba meneroka perkara baru di sekelilingnya. Dia juga sering bertanya ‘mengapa?’ kepada kami.
“Sekiranya dia tidak tahu mengenai perkara itu, Kashe ingin terus mendapatkan maklumat seperti bagaimana ia berfungsi. Sebaik mempelajarinya, dia terus mengaplikasikannya,” katanya.
Walaupun begitu, dia mahu anaknya membesar sebagai kanak-kanak normal dan menjalani kehidupan sama seperti mereka.
Tahap IQ dimiliki Kashe menjadikannya jauh lebih bijak berbanding orang dewasa di negara itu yang mempunyai tahap IQ sekitar 100, lapor laman web rasmi Mensa.
Ujian IQ Mensa terdiri daripada gabungan bahasa serta teka-teki berdasarkan nombor dan peserta akan diuji dengan soalan yang semakin sukar untuk dijawab.
Manakala Pengarah Eksekutif Mensa AS, Trevor Mitchell menyifatkan pencapaian kanak-kanak itu sebagai satu perkara yang amat menakjubkan.
“Ini adalah satu perkara luar biasa apabila Kashe diiktiraf atas kebijaksanaannya pada usia yang amat muda,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, kanak-kanak Malaysia berusia tiga tahun yang menetap di United Kingdom (UK), Muhammad Haryz Nadzim terpilih sebagai ahli termuda Mensa UK dengan tahap IQ 142.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]