Pemuda cacat penglihatan berjaya bangkit dengan perniagaan kek dan biskut

Pemuda cacat penglihatan berjaya bangkit dengan perniagaan kek dan biskut

Hemarruben enggan mengalah dan kini memulakan perniagaan Ruben Pastry selepas hilang pekerjaan akibat pandemik Covid-19 tahun lalu

Chef Pastry, Hemarruben mengasaskan Ruben Pastry. (Gambar Ruben Pastry)

Petaling Jaya: Dia bukanlah sekadar chef pastri yang biasa tetapi pemuda berusia 24 tahun ini adalah berstatus kurang upaya (OKU).

Namun, ia tidak menghalang pemuda bernama Hemarruben itu untuk menghasilkan biskut badam coklat dan kek coklat yang lazat walaupun hanya mempunyai penglihatan sebelah mata.

Fasih berbahasa Mandarin, pemuda yang menetap di Sungai Petani ini sempat meluangkan masa bersama FMT untuk menceritakan kisahnya menceburi bidang pastri dan menjadi usahawan.

Menurutnya, dia dilahirkan cacat penglihatan pada mata kanan dan mempunyai 70 peratus penglihatan pada mata kiri.

Selepas tamat persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aman Jaya, dia mempelajari cara membuat pastri di Rumah St Nicholas untuk Orang Buta pada 2016.

“Pada Jun 2017, saya melakukan latihan praktikal di sebuah hotel di George Town selama tiga bulan. Kemudian saya bekerja sebagai pembuat pastri di sebuah hotel di Batu Ferringhi,” katanya.

Bagaimanapun, setahun kemudian, kerjayanya terhenti apabila secara tiba-tiba dia mendapati penglihatan pada mata kiri turut hilang dan menjadi buta sepenuhnya.

Hemarruben hanya mempunyai 40 peratus penglihatan pada mata kiri manakala mata kanan buta sepenuhnya. (Gambar Ruben Pastry)

“Saya menggunakan ubat titis mata setiap hari tetapi kini doktor memberitahu saya tidak boleh menjalani pembedahan mata kiri kerana ia akan lebih memburukkan keadaan,” katanya yang bersyukur bahawa pembedahan sebelum ini membolehkan dia mempunyai 40 peratus penglihatan pada mata kiri.

Selepas mengambil masa tiga bulan untuk pulih daripada pembedahan, Hemarruben begitu bersemangat untuk kembali ke dapur dan menghasilkan pastri sehinggalah berdepan satu lagi cabaran iaitu pandemik Covid-19.

Seperti sebahagian rakyat Malaysia lain, Hemarruben juga menerima nasib sama apabila hilang pekerjaan pada Mac tahun lalu.

Walaupun ia adalah satu tekanan hebat hingga membuatkannya tersungkur, namun pemuda itu berjaya mencari semula kekuatan diri untuk bermula dari bawah.

Dia yang tinggal bersama nenek berusia 78 tahun enggan mengaku kalah, sebaliknya memanfaatkan segala kemahiran yang ada dengan memulakan perniagaan secara atas talian iaitu Ruben Pastry.

“Saya menubuhkan Ruben Pastry pada 9 Jun. Kini hampir setahun saya memulakan perniagaan ini,” katanya sambil tersenyum.

Sambil mengenakan apron berwarna ceria, sepasang sarung tangan dan topi chef, Hemarruben gigih membakar pastri pada setiap hari bermula jam 10 pagi hingga 5 petang.

Biskut coklat cip dan biskut oren Cornflakes yang baru saja dibakar oleh Hemarruben. (Gambar Ruben Pastry)

Menurutnya, dia mampu menyiapkan sekitar 10 hingga 15 balang biskut, sambil dibantu nenek yang diibaratkan sebagai ‘mata keduanya’.

“Saya boleh mengukur warna biskut dan kek itu tetapi nenek akan memastikan ia dibakar dengan baik,” katanya.

Teringin untuk menikmati biskut yang baru dibakar? Hemarruben mempunyai pelbagai pastri untuk sesuai dinikmati waktu petang bermula daripada biskut badam coklat hingga biskut ‘shortbread’, biskut Cornflakes, biskut mentega, biskut kelapa rangup, biskut kacang serta biskut ceri susu suji.

Jika anda tercari-cari kek yang lazat, dia turut menyediakan beberapa jenis kek seperti kek coklat, kek buah, kek marble mentega, kek kopi, kek lemon, kek lobak merah serta kek suji mentega.

Kek vegetarian, suji mentega dan kek buah yang dihasilkan Hemarruben. (Gambar Ruben Pastry)

“Setiap kotak mengandungi 50 keping biskut dan kek pula mempunyai berat satu kilogram. Produk paling laris ialah biskut badam coklat dan kek coklat.

“Ketika Deepavali, saya berjaya menjual 180 balang biskut badam coklat,” katanya.

Bagi mereka yang kurang gemar dengan rasa terlalu manis boleh memaklumkan Hemarruben untuk mengubah resepinya mengikut selera anda.

Selain itu, dia sentiasa aktif di Facebook untuk sentiasa mendekati pelanggan setianya menerusi platform media sosial.

Dia turut menjawab pelbagai soalan diajukan selain membuat hantaran mengenai promosi serta menunjukkan proses menghasilkan pastri dari dapurnya.

Hemarruben mampu menghasilkan 10 hingga 15 balang biskut. (Gambar Ruben Pastry)

Tidak dinafikan, Hemarruben turut resah dengan situasi pandemik ketika ini yang menjejaskan kebanyakan usahawan lain.

“Sektor perniagaan berdepan cabaran ketika ini dan saya menjadi semakin bimbang setiap kali langkah lebih ketat dilaksanakan,” katanya.

Namun, sama ada Covid atau tidak, Hemarruben tetap mempunyai perancangan besar untuk memiliki sebuah kedai roti atau sekurang-kurangnya sebuah gerai biskut menjelang 2025 nanti.

Pada masa sama, dia juga berharap dapat menjadi inspirasi buat komuniti cacat penglihatan bahawa mereka juga boleh mencapai kejayaan seperti insan normal yang lain.

Jangan lupa ke laman Facebook Hemarruben untuk melihat kek dan biskut dihasilkannya. Bagi membuat tempatan, anda boleh menghubungi Ruben Pastry di WhatsApp menerusi talian 010 7871997 untuk penghantaran di seluruh negara.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.