Rakyat Malaysia bersatu sumbang untuk Palestin

Rakyat Malaysia bersatu sumbang untuk Palestin

Atas dasar kemanusiaan, usaha mengumpul dana dilakukan menerusi gabungan NGO bernaung di bawah MyAqsaDefenders (MAD).

MyAqsaDefenders akan terus menggerakkan kempen membantu rakyat Palestin.

Tindakan rakus Israel yang terus menyerang Palestin hingga mengorbankan ramai kanak-kanak dan wanita memberi kesan terhadap seluruh rakyat Malaysia yang bangkit dengan semangat solidariti.

Serangan yang bermula dengan pencerobohan rejim zionis di Masjid Al-Aqsa ketika Ramadan lalu, merebak kepada pertempuran besar di Gaza yang sehingga kini menyebabkan seramai 213 penduduk mati syahid.

Sejak serangan itu, gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama selebriti dan ikon kemanusiaan yang bernaung di bawah MyAqsaDefenders (MAD) melakukan usaha mengumpul dana untuk disumbangkan kepada rakyat Palestin.

Hasil keprihatinan rakyat Malaysia, mereka sehingga kini sudah berjaya mengumpul dana berjumlah RM17.8 juta bagi tujuan kemanusiaan dan kebajikan di sana.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan, usaha terbabit dilakukan sejak hari pertama serangan dilakukan selain menggerakkan Kempen #ShameOnIsrael DAN #IsraelKoyak.

“Atas dasar kemanusiaan, MAD ditubuhkan sebagai satu gabungan anak muda daripada pelbagai NGO, barisan selebriti dan ikon kemanusiaan.

“MAD menggerakkan Kempen #ShameOnIsrael DAN #IsraelKoyak dan mengaktifkan pelbagai bentuk kesedaran dan advokasi di negara serta seluruh dunia.

“Kempen mengutip dana turut dilakukan sejak hari pertama serangan dan sehingga 18 Mei lalu, sebanyak RM17 juta berjaya dikumpul hasil sumbangan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Menurut mereka, sumbangan itu akan digunakan untuk beberapa projek yang dilakukan secara berperingkat menerusi fasa satu.

“Projek fasa satu ini terdiri daripada pembinaan Klinik Malaysia di Al-Aqsa, khidmat Guaman di Sheikh Jarrah, bantuan untuk keluarga miskin di Baitulmaqdis dan untuk Gaza Emergency Relief,” katanya.

Antara anggota gabungan NGO di bawah MAD termasuk Cinta Gaza Malaysia (CGM), Global Peace Mission (GPM) Malaysia, MAPIM, Malaysia for Syria, Iman Care dan One Nation.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.