James, si tukang gunting di Central Park

James, si tukang gunting di Central Park

Herman James gunting rambut secara percuma untuk ringankan beban penduduk di New York.

Herman James menggunting rambut seorang pelanggan di bawah pintu gerbang kayu di Central Park. (Gambar Reuters)

Tidak lama selepas pandemik Covid-19 melumpuhkan seluruh New York, Amerika Syarikat pada musim bunga lalu, Herman James kini dikenali orang ramai sebagai ‘si tukang gunting di Central Park’.

James mula menawarkan khidmat gunting rambut secara percuma di taman itu sejak Mei tahun lalu selepas perniagaan terpaksa ditutup sementara termasuk kedai tempatnya bekerja.

Kini, dia membuka ‘kedai gunting bergerak’ berhampiran pintu gerbang kayu di situ sambil membawa beberapa peralatan penting seperti kerusi lipat, penyepit rambut, gunting serta alat pencukur rambut.

“Saya menyukainya kerana dapat mencetus satu trend baru dan menjadi orang pertama yang memulakannya,” kata lelaki berusia 33 tahun itu.

Dia tidak pernah berasa penat mengusung peralatannya pada setiap hari biarpun terpaksa menempuh perjalanan selama 45 minit dengan menaiki kereta api bawah tanah dari rumahnya terletak di Brooklyn.

Baginya, apa yang penting dia dapat menyumbang kepada penduduk yang berdepan dengan keperitan hidup ketika saat pandemik melanda di seluruh dunia.

Lazimnya, orang ramai terpaksa membayar sekitar $20 (RM82) hingga $30 (RM123) untuk mendapatkan perkhidmatan gunting rambut di kedai biasa tetapi James pernah menerima bayaran serendah $1 (RM4.10) hingga $200 (RM825).

“Saya melakukannya sebagai inisiatif sendiri. Saya meletakkan peralatan dan ingin melihat bagaimana orang ramai memberi reaksi.

“Sepuluh minit kemudian terdapat seorang lelaki datang dan terus duduk. Sebaik saja orang ramai melihat kami, mereka terus tertarik kerana amat terdesak untuk menggunting rambut,” katanya.

Dia menggunakan aplikasi Schedulicity untuk mengambil tempahan slot daripada pelanggan dan ada juga pelanggan yang lalu-lalang atau berlari joging terus singgah mendapatkan khidmatnya.

“Bagi saya, ini adalah satu pengalaman baru apabila menggunting rambut di khalayak ramai dan ada juga yang sempat mengambil gambar.

“Keadaan di luar juga lebih selamat berbanding risiko yang dihadapi ketika berada di kawasan tertutup. Udara di luar juga lebih segar,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.