Rezeki penghujung Ramadan

Rezeki penghujung Ramadan

Seorang lelaki kongsi kisahnya berkongsi rezeki dengan sebuah keluarga.

Setiap kita diuji dengan masalah yang berbeza. (Gambar Instagram)

Adakala kita diuji dengan pelbagai dugaan seperti kehilangan orang tersayang, dihimpit dengan keperitan kewangan, ditimpa bala dan penyakit dan sebagainya.

Namun, adakalanya juga ketika di ambang kepayahan, bantuan datang tanpa diduga dan siapa sangka masih ada hamba Allah yang sudi berkongsi rezekinya.

Begitu juga situasi seorang lelaki di sebuah pasaraya di Ayer Keroh Melaka apabila dia hanya mampu merenung baki di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) apabila wang yang dinanti masih belum dibayar.

Kisah itu dikongsi oleh seorang pengguna Facebook dengan nama Ayie Sham berdasarkan pengalamannya di situ hingga menjadi tular di media sosial.

Rata-rata netizen yang membaca kisah itu berasa terkesan dengan pengalaman dikongsinya kerana tersentuh dengan kesempitan hidup dialami pasangan terbabit hingga mendapat lebih 3,000 komen.

Pada hari berkenaan, dia menyedari seorang lelaki bersama wanita dipercayai isterinya mengambil masa terlalu lama sambil menekan butang di mesin terbabit beberapa kali untuk mengesahkan baki akaunnya.

“Aku beratur di mesin ATM dan memerhatikan pasangan itu bersama seorang budak perempuan. Mula-mula aku ‘angin’ sebab lama sangat dia menggunakan mesin.

“Akibatnya, seorang wanita di depan aku mengomel kerana tidak tahan menunggu sebelum beredar. Kemudian tinggal aku beratur di belakang abang ini,” tulisnya.

Katanya, dia terdengar perbualan mereka apabila lelaki tersebut memberitahu isterinya bayaran kerjanya belum dimasukkan sebelum dimarahinya isterinya.

“Kakak itu terus tarik tangan suaminya sambil meminta maaf kerana terpaksa beratur lama. Aku hanya jawab tidak apa. Pada masa sama, aku terpandang muka lelaki itu dalam keadaan sedih dan murung dan terus teringat zaman susah dulu,” tulisnya lagi.

Saat itu benar-benar menyentuh hati lelaki budiman ini terutama apabila melihat lelaki terbabit dan anak perempuannya tidak dapat menyembunyikan kesedihan mereka.

Menurut Ayie, dia yang pada mulanya ingin mengeluarkan sebanyak RM1,000, kemudiannya tergerak hati untuk mengambil RM1,500 daripada akaunnya dengan niat untuk bersedekah kepada lelaki itu.

“Aku pun ke mesin tekan nombor untuk keluarkan duit. Niat di hati ingin keluarkan RM1,000 saja tetapi melihat mata si suami memang sedih sambil si isteri berleter. Anaknya pun nampak sedih. Tengok mata sudah tahu walaupun tidak dapat wajah sepenuhnya kerana memakai pelitup muka,” tulisnya.

Dia mengandaikan lelaki itu melakukan kerja pendawaian berdasarkan perbualannya bersama isteri di hadapan mesin ATM sebelum mendekati pasangan berkenaan.

Dengan niat ingin membantu, Ayie cuba berbual dan berlagak seperti mengenalinya sebelum meminta lelaki tersebut memasang lampu di pejabat sebagai cara untuk menghulurkan sumbangannya.

“Aku beri salam seperti mengenalinya tetapi sebenarnya dia tidak kenal, lebih-lebih lagi apabila mengenakan pelitup muka. Dia memberitahu pernah memasang lampu di kawasan taman aku. Aku pun terus jawab elok sangat sebab memang ingin pasang lampu di pejabat.

“Sebaik bersetuju, aku terus keluarkan RM500 sebagai ‘advance’ dan berikan kepada dia menyebabkan dia terkejut. Katanya dia hanya ambil upah RM40 untuk satu lampu.

“Dengan wajah tersenyum namun masih terkejut, dia memanggil isteri dan anaknya. Dia memberitahu isteri, mereka boleh terus membeli barang. Isterinya menjawab Alhamdulillah dan berterima kasih banyak-banyak,” tulisnya.

“Iktibar dari kisah ini, ingatlah saat kita susah dan bila senang jangan lupa bantu orang yang susah walaupun kita tidak kenal mereka. Insya Allah, akan diberi rezeki oleh Allah atas bantuan yang kita beri kepada orang,” tuturnya lagi.

Menurut Ayie, tujuan dia berkongsi kisah ini bukanlah untuk menunjuk tetapi hanyalah sebagai peringatan dan pelajaran kepada semua.

“Sekadar menyampaikan pesanan umum supaya kita jangan lupa zaman kita susah dulu dan jangan sombong ketika senang,” akhirinya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.