
Di sebalik kepayahan hidup, masih ada sinar kegembiraan yang dapat dirasai oleh seorang remaja berusia 16 tahun dengan kehadiran insan prihatin bergelar guru.
Nasib remaja dikenali sebagai Nana itu mendapat perhatian seorang guru, Mohd Fadli Salleh sejak dia berusia 10 tahun lagi apabila sering lewat ke sekolah kerana menjaga ibu yang menghidap angin ahmar.
Lebih hebat lagi ujian remaja ini apabila bapanya didakwa tidak mengambil berat tentang anak tunggalnya itu sehingga dia terpaksa melalui dugaan hebat itu bersendirian.
Baru-baru ini, guru terbabit sekali lagi memuat naik perkongsian terbaru di Facebook mengenai Nana apabila dia membawa remaja itu keluar membeli baju raya.
“Hari ni sempat luang masa cari baju raya untuk anak perempuan aku yang ini pula. Siapa kenal anak aku yang ni?
“Ya, inilah Nana. Dah besar dah budaknya. Tahun ni Tingkatan 4 dah. Ayah kandung tak ambil berat, tak tunai tanggung jawab belikan anaknya baju raya, tak apa.

“Biar aku saja bawa anak ini keluar dan beli baju raya. Sudah bertahun-tahun aku santuni keluarga ini. Sejak Nana sekolah rendah hingga sekarang dan Insya Allah hingga anak ini masuk universiti, dapat pekerjaan dan mampu berdikari akan terus aku bantu,” tulis cikgu Mohd Fadli Salleh.
Menerusi hantaran itu juga, Mohd Fadli sempat memuat naik beberapa keping gambar menunjukkan Nana sibuk memilih baju serta persiapan Aidilfitri lain.
Sejak beberapa tahun lalu, lelaki budiman berkenaan tidak pernah lupa untuk menghulurkan sumbangan kepada keluarga Nana bagi meringankan beban mereka.
Berdasarkan kisah yang diceritakan sebelum ini, ibunya tidak mempunyai pendapatan untuk menyara kehidupan dua beranak dan hanya menerima sumbangan daripada masjid selain dibantu jiran yang cakna.
Katanya, Nana juga memikul segala-gala tugas di rumah termasuk memasak serta menguruskan ibunya yang terlantar sakit.
“Ibunya pun sudah makin sihat. Sudah boleh bergerak dan berjalan walau masih perlahan. Walau sebelah tangan masih belum mampu menggenggam, sekurang-kurangnya boleh mengurus diri sendiri,” tulisnya.
Mohd Fadhli berkata, keluarga itu sentiasa dalam perhatian DanaKITA iaitu pertubuhan untuk membantu golongan memerlukan menerusi pemberian pelbagai sumbangan.
Orang ramai juga dialu-alukan membuat sumbangan ke akaun Maybank Pertubuhan Kebajikan Dana Kita bernombor 564221646925 untuk membantu lebih ramai lagi golongan kurang bernasib baik.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]