
Selain hari jadi, Hari Ibu juga menjadi salah satu sambutan yang diingati oleh semua orang untuk meraikan ibu masing-masing.
Pada hari istimewa ini, anda pastinya menghadiahkan ibu dengan sesuatu yang bermakna selain membawanya menikmati hidangan lazat di restoran.
Namun, Hari Ibu yang disambut pada Ahad kedua bulan Mei sebenarnya mempunyai kisah sejarahnya tersendiri.
Ia sebenarnya wujud sebagai kempen menentang sebuah perang yang sia-sia tetapi kini ia menjadi satu sambutan bersifat komersil.
Ini adalah tujuh fakta mengenai Hari Ibu:
1. Ia bermula sebagai usaha menentang peperangan

Ia dicetuskan oleh Anna Jarvis iaitu seorang aktivis anti perang Amerika.
Hari Ibu diisytiharkan sebagai hari cuti rasmi pada 1914 iaitu satu hari istimewa untuk anak-anak meraikan ibu mereka.
Jarvis melihat dirinya sebagai ‘Ibu kepada Hari Ibu’ dan idea kewujudan sambutan itu sudah lama wujud.
Sebagai contoh, Julia Ward Howe mencadangkan Hari Keamanan Ibu pada 1872 yang bertujuan memupuk perpaduan antara bangsa selepas berlakunya konflik.
Menerusi sambutan itu, wanita sepatutnya berkumpul beramai-ramai sambil berdoa dan menyebarkan keamanan.
Bagaimanapun, cubaan awal untuk mewujudkan sambutan Hari Ibu itu hanya dilakukan di kalangan aktivis sebelum ia lenyap begitu saja.
2. Terdapat pertelingkahan mengenai siapa yang mengasasnya

Sebelum Jarvis mencetuskan ideanya, seorang bekas jurulatih bola sepak Notre Dame University, Frank Hering pada 1904 mencadangkan satu hari istimewa untuk memperingati ibu dan jasa mereka.
Pada masa itu, dia tidak mencadangkan tarikh tertentu dan hanya menyatakan sambutan terbabit boleh dilakukan pada hari Ahad ketika musim luruh.
Jarvis tidak menyukainya dan mengecam Hering secara terbuka sambil menuduhnya ‘menculik’ hari sambutan itu.
Ada segelintir pula berpendapat Jarvis seorang yang ego dan mahu dirinya saja yang mendapat pengiktirafan sebagai pengasas Hari Ibu.
3. Seorang Presiden cuba mengeluarkan setem Hari Ibu

Presiden Amerika Syarikat ke-32, Franklin Delano Roosevelt dikatakan sebagai individu yang mereka setem pos Hari Ibu pada 1934.
Setem itu sebenarnya bertujuan memberi pengiktirafan kepada seorang artis yang melukis potret ibunya dan lukisan itu turut diselitkan dalam setem terbabit.
Jarvis tidak menyukai setem itu dan menyifatkannya terlalu buruk selain tidak mahu perkataan ‘Hari Ibu’ ditulis dalam setem tersebut.
4. Pengasasnya menentang usaha mengumpul dana sempena Hari Ibu

Satu ketika dulu, Hari Ibu digunakan oleh pertubuhan kebajikan dan beberapa organisasi lain untuk mengutip derma bagi tujuan membantu ibu miskin.
Jarvis turut menentang amalan dan tidak mempercayai niat mereka yang mengendalikan pertubuhan kebajikan berkenaan.
Dia mengesyaki mereka mengutip derma hanya untuk membuat keuntungan bagi diri sendiri.
5. Pengasasnya jadi gila dan hilang wang simpanan hanya kerana ingin mempertahankan ‘Hari Ibu’ yang diasasnya.
Ketika sektor perniagaan meraih untung daripada Hari Ibu, Jarvis pula menjadi semakin hilang sabar apabila melihatnya sebagai sambutan yang membazir dengan hadiah mahal seperti sambutan Krismas.
Jarvis berkata, dia lebih rela melihat Hari Ibu dihapuskan berbanding dijadikan sebagai tujuan komersil.
Walaupun disebut sebagai pengasas, dia tidak pernah menerima satu sen pun daripada sambutan Hari Ibu malah hilang semua wangnya dalam usaha mempertahankannya daripada terus dikomersilkan.
Lebih malang sekali apabila dia kemudiannya disahkan mengalami masalah mental dan meninggal dunia dalam keadaan miskin ketika berusia 84 tahun.
6. Perjuangannya dibawa ke mahkamah

Jarvis menganggap Hari Ibu adalah hak miliknya dari segi undang-undang dan mengheret pertubuhan yang menggunakan Hari Ibu, ke mahkamah.
Dia begitu gigih meneruskan tindakan undang-undang dan pernah memfailkan sehingga 30 saman pada satu masa!
7. Bunga sentiasa menjadi sebahagian daripada sambutan Hari Ibu

Ibu Jarvis minat kepada Bunga Teluki putih dan dia menggunakan bunga itu sebagai bunga simbolik sambutan Hari Ibu.
Dia memberi alasan bahawa kelopak bunga itu tidak gugur, umpama pelukan seorang ibu kepada anaknya yang tidak pernah ada penghujung.
Kini, kebanyakan orang tidak mempunyai jenis bunga tertentu untuk meraikan Hari Ibu dan hanya memilihnya mengikut kegemaran sendiri.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]