Jurutera Cuba hasil dron buatan sendiri

Jurutera Cuba hasil dron buatan sendiri

Sekumpulan jurutera dan juruteknik menggunakan bahan kitar semula untuk menghasilkan dron.

Salah seorang jurutera menguji dron buatan sendiri dihasilkan mereka. (Gambar AFP)

Sekilas pandang ia nampak seperti burung helang pipit yang bebas terbang di udara namun burung pemangsa ini sebenarnya adalah sebuah dron buatan sendiri.

Anda pasti tidak menyangka bahawa dron berukuran 1.3 meter ini berjaya dihasilkan daripada bahan kitar semula seperti kayu, serpihan besi serta plastik dan mampu terbang selama satu jam.

Ia adalah rekaan sekumpulan lima jurutera dan tiga juruteknik di Cuba dikenali sebagai Alasoluciones yang menghasilkan dron alternatif lebih murah berbanding teknologi dari luar negara.

Hampir keseluruhan bahagian pada dron itu dihasilkan oleh mereka sendiri di bengkel sementara didirikan di rumah jurutera terbabit yang hanya menyediakan peralatan dan komponen asas.

Manakala kayu yang digunakan pula ditebang daripada beberapa pokok berhampiran kawasan rumah mereka.

Projek terbabit dikatakan mengambil masa empat tahun sebelum dron terbabit berjaya dibangunkan dan dikendalikan secara automatik.

“Kami sentiasa berkeras dengan keinginan kami untuk mengatasi beberapa cabaran,” kata salah seorang jurutera, Ernesto Aragon, 50.

Antara cabaran itu termasuk mencari bahan untuk membina dron, halangan dari segi teknikal serta undang-undang yang melarang perniagaan persendirian di pulau berkenaan yang dikawal oleh Parti Komunis Cuba (PCC).

Namun, hasil inovasi mereka itu dimanfaatkan oleh kerajaan untuk membantu golongan petani mengawasi tanaman mereka, memeriksa saluran gas, pemasangan elektrik serta menara komunikasi.

Pasukan jurutera itu turut ditugaskan kerajaan untuk menggunakan burung mekanikal terbabit sebagai penghalau burung di Lapangan Terbang Antarabangsa Camaguey.

Bagaimanapun, projek itu terpaksa ditangguhkan berikutan pandemik Covid-19 yang melanda sejak tahun lalu.

Sementara itu, rekaan mereka turut mencuri perhatian presiden kelab penerbangan, Rene Gonzalez yang kagum dengan kreativiti kumpulan terbabit.

“Mereka melakukan satu aktiviti yang mempunyai banyak potensi untuk menyumbang kepada ekonomi di mana-mana negara,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.