Dari pegawai bank, dia kini hebat meluncur sebagai jurulatih ‘skateboard’

Dari pegawai bank, dia kini hebat meluncur sebagai jurulatih ‘skateboard’

Bekas pegawai bank ini kini, lebih gembira meluncur dengan papan selaju dan menjadikan ia sebagai pekerjaan tetapnya.

Joseph Romey Dures, pegawai bank bertukar kerjaya sebagai jurulatih papan selaju. (Gambar Moganraj Villavan)
KUALA LUMPUR:
Jam menunjukkan pukul 10 pagi, kelihatan seorang pemain ‘skateboard’ atau papan selaju, Joseph Romey Dures dengan sabar sedang mengajar pelajarnya Rykiel Mok cara berdiri yang betul untuk mengemudi papan selajunya di Mont Kiara Skate Park.

Beberapa kali pelajar itu mencuba, namun akhirnya dia berjaya memahirkan diri.

Suasana gembira jelas terpancar bila keduanya menepuk tangan memberi ‘high-five’ kepada satu sama lain.

Joseph bersama pelajarnya meraikan setiap kali berjaya dalam latihan. (Gambar Moganraj Villavan)

Bagi pelajarnya, guru berusia 39 tahun yang meluncur berulang-alik di atas papan selajunya itu amat mengagumkan.

Tetapi, tujuh bulan lalu, rakan sepejabatnya pasti tidak dapat membayangkan bagaimana Joseph seorang pegawai bank ini boleh bertukar kerjaya berada di atas papan selaju.

“Selama sedekad saya bekerja di bank, melaksanakan transaksi pelanggan, broker dan menjalankan kerja-kerja di pejabat,” ungkap Joseph mengenang pekerjaan silamnya sambil mata memerhati pelajarnya berlatih.

Kemudian pada Oktober 2020, seluruh hidupnya bertukar kelam apabila menerima berita yang dia berada dalam senarai pekerja yang perlu meninggalkan syarikat.

“Kami tahu sesuatu yang buruk sedang terjadi kerana syarikat menjalankan penstrukuran semula tetapi saya tidak pernah menyangka nama saya antara yang tersenarai,” katanya.

Dia mengumpul keberanian dan menjelaskan berita itu kepada isteri yang sememangnya begitu memahami situasi tersebut. Pasangan itu kemudian duduk dan berbincang langkah seterusnya untuk meneruskan kehidupan.

Segalanya bermula semasa pandemik tahun lepas. (Gambar Moganraj Villavan)

“Sebenarnya, sewaktu masih bekerja, saya memang mengajar permainan ‘skateboard’ ini semasa hujung minggu,” tutur Joseph yang juga merupakan jurulatih pemain papan selaju bertauliah dari National Skate Accreditation (NSA).

Lelaki Bidayuh dari Bau Singai, Sarawak ini, jatuh cinta dengan permainan papan selaju sejurus menonton peluncur profesional Tony Hawk melakukan aksi-aksi hebatnya di kaca televisyen.

“Pada era 90-an, meluncur papan selaju mempunyai banyak pantang larang. Ia dikatakan membawa pengaruh buruk,” ujar Joseph yang merayu kepada ayahnya untuk memiliki papan tersebut di usia 12 tahun.

“Hanya saya dan seorang rakan, Luke. Waktu itu tiada tutorial YouTube. Yang kami ada hanyalah pita VHS yang dipinjam dari seorang rakan,” cerita Joseph sambil menambah dia mengambil masa tiga bulan untuk memahirkan diri mempelajari permainan ‘skateboard’.

Kanak-kanak lelaki itu kemudian memulakan perjalanan mempelajari papan selaju dengan apa saja yang mereka miliki.

“Kami bermula dengan pelbagai cara, dengan penyapu, batu dan tin biskut. Kami mengambil masa setahun untuk benar-benar mahir!” ujarnya.

Cinta terhadap ‘skateboading’ sejak kecil lagi. (Gambar Moganraj Villavan)

Sambil tersenyum, Joseph menerangkan terdapat satu pelajaran yang diambil dari latihan ‘skateboarding’, “Anda mungkin jatuh beberapa kali dalam hidup, tetapi anda akan bangun dan menjadi lebih kuat.”

Joseph kemudian sering menyertai pertandingan mewakili Sarawak dalam arena kebangsaan dan juga menyertai X Games Asia. Pada satu ketika, dia turut menjadi pengadil untuk satu pertandingan ‘skateboarding’ namun segalanya terpaksa ditinggalkan demi mengejar peluang di dunia korporat.

Kini, dia menjadi tenaga pengajar ‘skateboarding’ sepenuh masa, dan kebanyakan pelajarnya adalah dari Mont Kiara dengan pelajar paling kecil berusia lima tahun dan paling dewasa berusia 42 tahun.

“Saya pernah mempunyai pelajar berusia 56 tahun, seorang lelaki Amerika. Siapa kata ‘skateboarding’ hanya untuk orang muda?” ujar Joseph tersenyum.

Sehingga kini, Joseph mempunyai seramai 35 pelajar. (Gambar Moganraj Villavan)

Menerapkan rasa cinta ‘skateboarding’ kepada semua, Joseph memastikan tiada siapa perlu tertinggal – dia turut mengajar kanak-kanak autistic dan juga sedang mendapatkan Orang Asli untuk mempelajari papan selaju ini.

“Saya percaya pada tujuan saya dan sangat bersyukur kerana hanya satu pintu tertutup tetapi satu lagi pintu terbuka luas.

“Sejujurnya, saya tidak begitu gembira bekerja di dunia korporat dan saya sebenarnya mempunyai rancangan untuk meninggalkan kerjaya itu tetapi tidak pernah mendapat masa yang sesuai,” katanya.

Jadi, apabila menerima surat, ia seperti satu petanda kepada Joseph. Dia awalnya dia agar gusar untuk terus menjadikan ‘skateboarding’ sebagai kerjaya sepenuh masa terutama apabila ia membabitkan soal kewangan tetapi kini dia sering mengatakan mengapa tidak bermula lebih awal.

“Semasa saya bekerja sebagai pegawai bank, saya hanya boleh mengambil 10 orang pelajar sahaja. Namun, apabila saya mengatakan akan menjadi jurulatih sepenuh masa, berita itu merebak begitu cepat sehingga sekarang saya mempunyai 30 orang pelajar,” ujarnya.

Meluncur dengan papan selajunya, pegawai bank ini mempunyai impian untuk membuka sekolah ‘skateboarding’ yang lebih teratur dan berkongsi cinta terhadap papan selaju dengan lebih ramai orang.

Berminat mempelajari ‘skateboard’? Anda boleh melihat aktiviti papan selaju Joseph di Instagram atau WhatsApp ke 012 6696951.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.