
Kuala Lumpur: Sebaik bertemu di sebuah pejabat guaman di Publika Shopping Gallery, Kevin Wu, 26, mengeluarkan segenggam cengkerik panggang untuk diletakkan di atas pinggan sebelum menghirup kopinya.
Bagi mereka yang tidak biasa, ia pastinya sesuatu yang pelik apabila cengkerik dijadikan sebagai snek tengah hari.
Namun, snek pelik itulah yang mengangkat dirinya sebagai usahawan berjaya dan merupakan salah seorang antara tujuh rakyat Malaysia yang tersenarai dalam Forbes 30 Bawah 30 Asia.

Ketika anak muda berusia 26 tahun lain berusaha keras dalam bidang korporat, Kevin pula sudah bergelar usahawan dalam penternakan cengkerik, perniagaan perabot dan memiliki sebuah firma guaman.
Namun baginya, tidak pernah terlintas langsung di fikiran sebelum ini untuk menjadi seorang penternak cengkerik dan memiliki kedai perabot.
Selepas tamat pengajian undang-undang di London, dia pulang ke tanah air dan berkhidmat di salah sebuah firma guaman terbesar.
Bagaimanapun pada awal 2018, dia berundur daripada bidang korporat seketika untuk membuat perancangan dalam tempoh beberapa tahun lagi.

“Saya menghabiskan masa mengembara selama beberapa bulan sebelum mencuba cengkerik panggang buat pertama kali.
Ketika itu saya berada di Mexico sambil menikmati taco cengkerik di tepi jalan.
“Secara jujurnya, rasanya sama seperti ikan bilis dan saya terus menyukainya,” kata Kelvin.
Sebaik pulang ke Malaysia, dia cuba mencari cengkerik di atas talian, malangnya ia sukar ditemui.
“Kemudian saya sedar terdapat jurang di pasaran. Hanya Amerika Syarikat dan Eropah saja yang menjualnya. Bermula daripada saat itu, saya ingin memastikan makanan berasaskan serangga ini boleh dibeli di Malaysia.
“Satu lagi masalah ialah ia agak mahal untuk dibeli dari luar negara dan dihantar ke Malaysia. Kemudian saya sedar mengenai wujudnya peluang perniagaan makanan itu di sini yang boleh dijual pada harga lebih rendah,” katanya.
Jika anda gusar, cengkerik sebenarnya adalah salah satu makanan kesihatan malah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan beberapa pertubuhan lain mempromosikannya sebagai sumber protein alternatif.

Kemudian lahirlah Ento, iaitu sebuah syarikat protein alternatif khusus dalam makanan berasaskan serangga.
Serangga yang digunakan bukan sebarang cengkerik tetapi ia diternak dan mempunyai rasa lebih semula jadi.
“Kita menjadikan ia dalam bentuk serbuk dan menambah ke dalam pelbagai produk lain seperti biskut, kek, roti supaya lebih mudah untuk dinikmati pengguna,” katanya yang mempunyai ladang cengkerik sendiri di Sunway.

Pada 2019, dia mendapat satu lagi peluang perniagaan dan kini menjadi pengasas bersama salah sebuah pusat perabot di Petaling Jaya, Furniture Outlet Centre.
Tidak cukup dengan itu, dia kemudiannya menubuhkan firma guaman sendiri pada tahun lalu yang mempunyai hampir sepuluh peguam mengendalikan pelbagai bidang undang-undang termasuk korporat dan jenayah.
Seperti orang lain, dia juga tidak menyangka dengan kehadiran pandemik Covid-19 yang melanda dunia.
“Covid-19 amat menjejaskan perniagaan apabila kebanyakan pejabat dan kedai tidak beroperasi hampir dua bulan. Ia adalah tempoh sukar apabila tiada aliran tunai manakala perbelanjaan pula meningkat.
“Kami terpaksa melakukan keputusan sukar dan menilai kembali perniagaan terutama bagaimana untuk bertahan ketika dan selepas pandemik.
“Seperti perniagaan lain, ia mengejutkan industri seluruh dunia tetapi kita perlu bangkit dengan lebih kuat dan cepat,” katanya.

Menurut Kevin, apa yang mendorong kepada kejayaan itu ialah dia mempunyai pemahaman jelas terhadap matlamatnya.
Katanya, dia juga percaya bahawa langkah perlu dimulakan dengan matlamat lebih kecil supaya lebih mudah diuruskan.
“Itu yang saya lakukan sejak lima tahun lalu. Ia bukan perkara mudah menguruskan tiga perniagaan serentak tetapi bermula dengan langkah kecil.
“Peluang tidak muncul setiap masa dan sudah tentu terdapat risiko yang perlu dipertimbangkan. Namun, saya nasihatkan kepada semua orang supaya mengambil kira semua risiko terlebih dulu.
“Tidak mengapa jika tidak berjaya. Paling tidak anda akan kehilangan sedikit modal dan masa. Namun, jika anda terus mengharungi cabaran berkenaan, wang yang hilang itu boleh diperolehi semula,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]