Bekas pelajar (SMK) Convent Bukit Nanas lega tempoh pajakan tanah dilanjutkan

Bekas pelajar (SMK) Convent Bukit Nanas lega tempoh pajakan tanah dilanjutkan

Presiden Alumni sekolah, Marina Yong lega dengan keputusan kerajaan melanjutkan ke 60 tahun lagi selepas bimbang mengenai nasib dan masa depan sekolah terbabit.

Alumni Convent Bukit Nanas, Marina Yong dan Jun Ishak. (Gambar Muhammad Rabbani Jamian)
PETALING JAYA:
Pelajar, ibu bapa, kakitangan dan alumni sekolah berusia 122 tahun, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Bukit Nanas kini boleh menarik nafas lega susulan pengumuman lanjutan tempoh pajakan tanah sekolah terbabit selama 60 tahun lagi.

Tempoh pajakan itu sepatutnya bakal tamat pada 6 September.

Presiden Alumni sekolah, Marina Yong yang memberitahu FMT berkata, dia lega dengan berita baik itu selepas bimbang mengenai nasib dan masa depan sekolah terbabit.

Presiden Alumni Convent Bukit Nanas, Marina Yong. (Gambar Muhammad Rabbani Jamian)

“Saya terkejut sebaik mendapat tahu tempoh pajakannya masih belum diperbaharui. Ramai menyuarakan pertanyaan di laman web alumni kami untuk mengetahui perkembangan terbaru dan apa tindakan alumni.

“Bayangkan bagaimana perasaan semua pelajar apabila melihat tempoh pajakan sekolah mereka mungkin berakhir pada September. Mereka pasti panik dan sedih mengenai nasib buruk apabila terpaksa memikirkan untuk berpindah ke tempat lain.

“Ini adalah tindakan paling teruk yang dilakukan terhadap pelajar ketika masih berdepan tekanan akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Convent Bukit Nanas adalah salah sebuah sekolah tertua di Malaysia selepas ditubuhkan oleh sekumpulan biarawati Sisters of the Holy Infant Jesus pada 1899.

Sekolah terbabit melahirkan ramai personaliti yang berjaya termasuk penghibur, profesional, atlet dan pemimpin negara.

Antara alumni terkenal sekolah itu ialah bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz, peguam, Ambiga Sreenevasan, aktivis, Ivy Josiah, bekas gimnas negara, Dr Farrah Hani Imran serta penyanyi dan pelakon, Adibah Noor.

Peguam, Ambiga Sreenevasan antara alumni Convent Bukit Nanas. (Gambar Muhammad Rabbani Jamian)

Naib Presiden Alumni, Jun Ishak juga masih teringat banyak kenangannya di sekolah itu yang dihiasi dengan struktur dan serta binaan bangunan indah.

Menurutnya, dia sentiasa berasa selamat berada di kawasan sekolah biarpun terpaksa pulang lewat kerana mengikuti aktiviti kokurikulum dan waktu rehat adalah waktu kegemarannya kerana dapat makan beramai-ramai.

“Saya masih ingat lagi ketika waktu hujan dan sejuk, kami boleh memakai baju sejuk dan jaket di sekolah,” katanya yang juga aktif dalam bidang sukan ketika zaman persekolahannya.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz pernah bersekolah di Convent Bukit Nanas. (Gambar Muhammad Rabbani Jamian)

Marina turut menceritakan, antara kenangan yang paling diingatinya adalah ketika berada di balkoni kelasnya.

“Hanya dari balkoni kelas, anda boleh melihat hutan dan monyet bermain-main. Ketika itu juga ada penjual yang menjual cendol paling sedap.

“Terdapat sesuatu yang istimewa mengenai sekolah ini dan anda akan merasakan diri sebagai sebahagian daripada tempat itu selain struktur binaan bersejarah bangunannya.

“Seni bina bangunan sekolah ini tidak boleh dilihat pada bangunan moden masa kini,” katanya.

Mereka juga gemar dengan aktiviti bermain bola jaring dan bola lisut serta keadaan menjadi lebih riuh setiap kali perlawanan antara sekolah diadakan di situ.

Pada masa sama, pelajar Convent Bukit Nanas juga agak cemerlang dalam bidang sukan.

Jun dan Marina bersama buku Convent Bukit Nanas. (Gambar Muhammad Rabbani Jamian)

“Kami sebenarnya golongan yang suka bersaing. Malah, pada hari ini saya tidak pernah lagi bertemu pelajar Convent Bukit Nanas yang tidak boleh bangkit dalam apa saja situasi,” kata Jun.

Jun menjelaskan, dia tidak menyangka situasi sukar yang dihadapi Convent Bukit Nanas mengenai isu pajakan itu menjadi kempen besar-besaran termasuk petisyen menyelamatkan sekolah yang heboh di media sosial.

“Saya amat berbesar hati dan bersyukur. Terima kasih kepada semua atas sokongan ini dan bersama-sama tampil untuk menyelamatkan sebahagian daripada sejarah Malaysia ini.

“Convent Bukit Nanas mempunyai peranan besar dalam membentuk nilai hidup saya. Slogan sekolah, ‘Simple in Virtue, Steadfast in Duty’ adalah sesuatu yang saya cuba ikuti sehingga sekarang,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.