Galeri seni dicipta jadi farmasi, hasil karya artis di London

Galeri seni dicipta jadi farmasi, hasil karya artis di London

Lucy Sparrow dan beberapa artis lain menghasilkan ubat-ubatan dan barangan peribadi daripada fabrik yang sekali imbas kelihatan sama seperti produk sebenar.

Sekali pandang, Bourdon Street Chemist yang baru dibuka di London tidak ubah seperti farmasi sebenar. (Gambar PA Wire)

Seorang artis menampilkan kelainannya tersendiri dengan mewujudkan sebuah farmasi yang menempatkan lebih 15,000 ubat-ubatan serta barangan peribadi diperbuat daripada fabrik.

Sekali imbas, Bourdon Street Chemist yang baru dibuka di tengah London itu kelihatan sama dengan farmasi lain namun pengunjung jangan terkeliru apabila ubat-ubatan yang dijual hanyalah sekadar hasil seni artis terbabit, Lucy Sparrow.

Pelbagai barangan berjaya dihasilkannya terdiri daripada ubat penahan sakit, ubat selesema, berus gigi, plaster, pewangi badan, alat pencukur serta alat penguji kehamilan.

Pelanggan juga boleh membeli alat ujian Covid-19, vaksin, topeng pelitup muka serta gel pembasmi kuman.

Sparrow, 34, bersama beberapa artis lain dikatakan menghabiskan masa setahun menghasilkan barangan terbabit untuk dijual kepada orang ramai.

Hasil seni yang mengagumkan dari Lucy Sparrow. (Gambar PA Wire)

“Sebaik melangkah ke Bourdon Street Chemist anda akan menghidu bau ubat-ubatan sebenar. Ia sesuatu yang saya ingin wujudkan di sini.

“Stok ubat-ubatan disusun penuh dan anda akan melihat betapa banyaknya produk yang dipamerkan di sini.

“Anda boleh memilih pelbagai ubat-ubatan dan barangan peribadi untuk dibeli, seolah-olah seperti berada di farmasi,” katanya.

Sparrow melakukan penyelidikannya sendiri dengan teliti termasuk berkunjung ke beratus farmasi lain untuk menghasilkan bentuk dan rupa produk yang sama.

Katanya, farmasi yang terletak di Galeri Lynsey Ingram itu bertujuan mengetengahkan peranan yang dimainkan oleh farmasi terbabit dalam situasi pandemik Covid-19.

“Farmasi sangat penting. Selain kedai makanan, ia adalah satu-satunya premis yang dibenarkan beroperasi ketika ini,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.