
Suasana ruang dapur di rumah Aisha al-Abed agak kelam kabut dan bersepah sejak menyambut ketibaan bulan Ramadan.
Dia harus memastikan semua makanan tersedia di atas meja makan tepat pada jam 7.07 malam ketika matahari mula berlabuh, tanda masuk waktu berbuka puasa.
Ramadan sepatutnya disambut gembira oleh kebanyakan umat Islam apabila dapat duduk makan bersama keluarga namun ia tidak berlaku kepada keluarga pelarian Syria itu yang menyambutnya secara ala kadar.
Tempat berlindung mereka hanyalah sebuah khemah dengan lantai konkrit manakala dinding kayu dilindungi oleh kertas plastik.
Keadaan itu sentiasa mengingatkan betapa susahnya kehidupan ibu berusia 21 tahun yang mempunyai dua anak kecil itu.
Hidangan berbuka mereka termasuk nasi, sup kacang dal, kentang goreng bersama pencicah yogurt dan timun selain sedikit ayam dan ikan dihantar oleh kakaknya.
“Ramadan kali ini agak sukar bagi kami. Kami sepatutnya boleh menyediakan makanan lebih baik.
“Selepas seharian berpuasa, seseorang perlu mendapatkan kembali dan tenaga. Sudah tentu saya rasa lemah,” katanya.
Kehidupan pelarian Syria di Lubnan semakin sukar berikutan krisis ekonomi yang melanda negara itu sekali gus mendorong peningkatan harga barang.
“Harga barang yang mahal menyeksa orang ramai. Kita mungkin berpuasa sepanjang hari namun terpaksa berbuka puasa dengan hanya makan bawang,” kata suaminya, Raed Mattar, 24.
Lubnan yang menempatkan lebih satu juta pelarian Syria terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 selain kejadian letupan besar yang memusnahkan sebahagian besar ibu kotanya pada Ogos lalu.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]