
Setiap qari dan qariah pasti mempunyai pelbagai petua yang diamalkan mereka untuk memastikan dapat melontarkan bacaan Al-Quran yang paling merdu.
Begitu juga dengan seorang qari dari Pakistan, Hassan Ali Kasi yang mengamalkan senaman yoga, berlatih vokal selama berjam-jam dan paling penting, langsung tidak menjamah nasi briyani.
Usaha itu bagaimana pun membuahkan hasil apabila dia baru-baru ini muncul juara dalam pertandingan tilawah Al-Quran secara atas talian dianjurkan oleh Afghanistan di mana dia berentap bersama 25 negara lain.
“Salah satu elemen paling utama dalam menyampaikan ajaran Islam ialah dengan membaca Al-Quran,” katanya.
Menurut Hassan, senaman yoga membantunya mengawal pernafasan manakala latihan vokal pula dapat memantapkan suaranya.
“Seorang qari harus melantunkan bacaan minimum 50 saat tanpa menarik nafas.
“Bahagian tekak amat sensitif dan setiap qari harus mengelak air sejuk dan makanan berlemak kerana ia boleh menyebabkan lendir seterusnya mengganggu bacaan pada nada yang tinggi,” katanya pelajar bidang Pengajian Islam di sebuah universiti di ibu kota.
Dia mendapat bimbingan bacaan Al-Quran daripada bapanya sendiri hingga berjaya diiktiraf di peringkat kebangsaan menerusi pelbagai anugerah sebelum bertanding di peringkat antarabangsa.
Kebanyakan qari dihasilkan selepas mendapat pendidikan di madrasah di mana mereka akan diajar untuk menghafal bacaan Al-Quran.
Aktivis pendidikan pula berkata, kemahiran itu memakan masa bertahun-tahun untuk dikuasai namun gagal menyediakan mereka untuk masuk ke bidang pekerjaan.
Namun, bagi berjuta kanak-kanak miskin di Pakistan, ia adalah satu-satunya pilihan mereka untuk bersekolah kerana mempunyai tempat tinggal percuma, pakaian dan makanan.
Hanya terdapat beberapa madrasah saja yang disediakan untuk kanak-kanak perempuan.
Sebaik tamat pengajian, mereka boleh menjadi guru atau imam di masjid seluruh dunia, malah boleh menjana sedikit pendapatan.
“Seseorang itu harus benar-benar rajin bekerja. Suara ini adalah kurniaan daripada tuhan tetapi seseorang itu harus berusaha memperbaikinya, kata Abdul Qudus dari madrasah Wafaq-ul-Madaris al-Arabia.
Katanya, terdapat beratus imam di Asia Barat adalah bekas pelajar madrasah manakala yang lain kini mengajar bacaan Al-Quran secara atas talian kepada rakyat Pakistan yang tinggal di Eropah atau Amerika Syarikat.
Manakala Hassan yang menghabiskan masa berjam-jam berlatih sebelum pertandingan berkata, guru berkualiti adalah kunci utama untuk memiliki bacaan sempurna.
“Apabila anda mengikuti qari yang baik, anda boleh menyebarkan suara itu ke seluruh dunia,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]