Wanita tertua di Malaysia sambut lebih 700 bayi tanpa mengira bangsa

Wanita tertua di Malaysia sambut lebih 700 bayi tanpa mengira bangsa

Selain bekerja sebagai penoreh getah di Kinta Valley Estet, dia turut merawat pekerja estet tempatan yang sakit dan menjadi bidan.

A. Annamah, 110 tahun, berkongsi kisahnya yang telah menyambut kira-kira lebih 700 bayi tanpa mengira latar belakang bangsa ketika usia muda. (Gambar Bernama)
BATU GAJAH:
Meniti usia yang ke 110 tahun, wanita tertua di negara ini, A. Annamah, sarat dengan pengalaman hidup antara lain dia juga telah menyambut kira-kira lebih 700 bayi tanpa mengira bangsa di usia mudanya.

A. Annamah datang ke Tanah Melayu ketika berusia 19 tahun dan bekerja sebagai penoreh getah di Kinta Valley Estet namun, wanita ini sebenarnya mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan tradisional sewaktu di kampungnya.

Oleh itu, selain bekerja, dia turut merawat pekerja estet tempatan yang sakit dan menjadi bidan.

“Saya mula menjadi bidan pada usia 18 tahun. Ketika itu saya belajar menyambut bayi di India bersama ibu dan nenek di sana.

“Sebab itu, saya mendapat kepercayaan jiran-jiran estet untuk menyambut kelahiran bayi semasa di Kinta Valley Estet,” ujarnya dalam bahasa Tamil yang diterjemahkan oleh cucu lelakinya, S. Ezhilan, 41.

Menurut A. Annamah lagi, dia dikenali oleh semua pekerja estet tanpa mengira bangsa bermula dari Batu Gajah hinggalah ke Tanjong Tualang.

Annamah berkata ketika menjadi bidan, dia amat rapat dengan jiran-jiran setempat dan merindui suasana kemasyarakatan dan keharmonian tanpa mengira bangsa sehingga melahirkan rasa kasih dan sayang umpama keluarga sendiri.

“Dahulu, jiran-jiran saya fasih bertutur bahasa Tamil walaupun mereka berbangsa Melayu dan Cina. Musim perayaan mereka akan datang rumah saya dan meminjam sari.

“Saya rindu zaman itu. Anak-anak saya juga seronok bermain dengan mereka. Meskipun bukan musim perayaan, kami jiran-jiran sangat rapat antara satu sama lain,” jelasnya.

Annamah turut mengharapkan agar semangat muhibah serta perpaduan yang pernah dirasainya suatu ketika dahulu dapat dinikmati lagi dan diteruskan oleh generasi kini dalam mewujudkan sebuah negara yang harmoni.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.