
Adakalanya, setiap perjalanan kehidupan kita pastinya berdepan dengan pelbagai peristiwa atau tragedi mengejutkan.
Yang pastinya, tidak ada sesiapa pun bersedia untuk menerima kejutan itu namun, ada di kalangan kita masih bernasib baik biarpun pengalaman dilalui itu hampir meragut nyawa.
Mungkin ianya satu peristiwa ajaib atau sekadar nasib baik. Senarai di bawah adalah kisah benar mereka yang terselamat daripada kejadian dahsyat dalam sejarah.
1. Terselamat selepas terjatuh 10,000 meter dari udara tanpa payung terjun
Tarikh 26 Januari 1972 sepatutnya menjadi hari normal buat seorang pramugari warga Serbia, Vesna Vulovic untuk menjalankan tugasnya.
Namun, pesawat JAT Penerbangan 367 yang dinaikinya dikejutkan dengan satu letupan bom hingga terbelah dua menyebabkan semua penumpangnya maut.
Bagaimanapun, Vulovic yang berada di bahagian belakang pesawat tersepit di sebalik troli makanan dan kemudiannya menjadi satu-satunya mangsa terselamat.
Ketika itu, dia mengalami tekanan darah rendah menyebabkannya pengsan dalam letupan berkenaan.
Seorang doktor yang pernah bertugas ketika Perang Dunia Kedua adalah orang pertama yang tiba di lokasi dan menemui Vulovic dalam keadaan parah namun masih hidup.
2. Tersepit di sebalik bongkah batu selama 127 jam

Bayangkan anda pergi mengembara seorang diri dan secara tiba-tiba terjatuh ke ruang sempit manakala tangan kanan tersepit di sebalik batu seberat lebih 362 kilogram.
Itu yang berlaku pada Aron Ralston pada 2003 ketika dia terperangkap dalam situasi cemas itu selama 127 jam.
Dia yang enggan menyerah, berusaha untuk menyelamatkan diri hingga sanggup memotong tangan sendiri.
Lelaki itu turut melalui pengalaman memeritkan apabila menggunakan batu terbabit untuk mematahkan tulang lengannya sendiri untuk melepaskan diri.
3. Terselamat daripada dua serangan bom nuklear

Pada 6 Ogos 1945, Tsutomu Yamaguchi yang baru saja mahu meninggalkan Hiroshima melihat sebuah pesawat pengebom milik Amerika Syarikat yang ingin menjatuhkan bom ke bandar itu.
Beberapa saat kemudian, satu letupan kuat menggegarkan kawasan itu menyebabkan Tsutomu mengalami lecur teruk dan rosak gegendang telinganya.
Ajaibnya, dia hanya mengalami cedera ringan biarpun berada tidak jauh pada jarak 3 kilometer dari tempat kejadian.
Dia yang ketakutan tetap membuat keputusan untuk pulang ke kampung di Nagasaki pada 9 Ogos untuk lapor diri bertugas.
Kemudiannya, dia sekali lagi dikejutkan dengan serangan bom kedua di tempat itu dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Selepas kejadian itu, Yamaguchi hidup sehingga usianya 93 tahun sebelum meninggal dunia pada 2010.
4. Ditanam hidup-hidup bersama cincin pertunangan

Michelina Lewandoska yang berusia 27 tahun menyedari hubungannya dengan teman lelaki mengalami masalah ketika diajak keluar untuk membeli belah.
Berikutan situasi itu, dia mula berjaga-jaga dan ketika sibuk bersiap, lelaki terbabit menyerangnya menggunakan pistol renjatan elektrik sebelum menanamnya secara hidup-hidup selepas disumbat dalam kotak kadbod.
Selepas menunggu lelaki itu beredar, dia mula berusaha mengoyakkan kotak itu menggunakan cincin pertunangan dan akhirnya berjaya menyelamatkan diri.
Teman lelakinya kemudian dihukum penjara 20 tahun atas kesalahan itu selain tuduhan memiliki bahan menghasilkan bom di rumahnya.
5. Dilanggar keretapi

Truman Duncan dikatakan tergelincir lalu terjatuh ke atas landasan sebelum dilanggar keretapi.
Kejadian ngeri itu menyebabkan badannya hampir terputus dua namun ketika detik cemas terbabit, dia masih berupaya menghubungi panggilan kecemasan.
Dia menunggu selama 45 minit sebelum anggota paramedik tiba memberikan bantuan namun dia berjaya diselamatkan.
Selepas menjalani 23 pembedahan, dia kembali ke tempat kerja enam minggu selepas itu dan menjalani kehidupan tanpa kedua belah kakinya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]