Sebak, bapa hantar anak mendaftar ke MRSM naik motosikal

Sebak, bapa hantar anak mendaftar ke MRSM naik motosikal

Kisah dua beranak bermotosikal di hari pertama mendaftar dikongsi Timbalan Pengetua MRSM Muar di Facebooknya tular.

Sebak bercampur kagum menyaksikan semangat si ayah dan raut wajah ceria si anak tanpa sedikit pun rasa malu walaupun pelajar lain dihantar dengan kereta. (Gambar Facebook)

Tidak kira hujan, panas atau terpaksa berpenat lelah, seorang bapa sanggup melakukan apa saja demi pendidikan anak, seterusnya ingin melihat mereka berjaya dalam kehidupan.

Begitu juga kisahnya di Muar apabila seorang bapa kelihatan gigih menghantar anaknya menaiki motosikal pada hari pertama, pendaftaran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Kisah yang menyentuh hati netizen itu dikongsikan oleh Timbalan Pengetua MRSM Muar, Musa Muhamad Ali di akaun Facebook bersama beberapa keping gambar yang dimuat naik sehingga ia menjadi tular di media sosial.

“Pelajar pertama tingkatan satu mendaftar di MRSM Muar bersama ayahnya hanya menaiki motosikal comel.

“Sebak bercampur kagum menyaksikan semangat si ayah membawa anaknya mendaftar dengan raut wajah ceria si anak tanpa sedikit pun rasa malu walaupun pelajar lain dihantar dengan kereta.

“Semoga pelajar ini terus cemerlang menjadi insan hebat akademik dan akhlaknya di MRSM,” tulis Musa.

Ketika rakan-rakan lain menaiki kereta bersama keluarga untuk sama-sama menemani di hari penuh bermakna itu, dua beranak tersebut sekadar menaiki motosikal sambil membawa beg pakaian di dalam raga.

Namun, ia sedikit pun tidak mematahkan semangat mereka malah, si ayah tetap kelihatan bersemangat apabila melihat anaknya berjaya mendaftar di MRSM.

Sehingga kisah ini ditulis, ia sudah mendapat sebanyak 1,700 perkongsian di Facebook serta mendapat 4,000 tanda suka.

Rata-rata netizen memberikan pelbagai reaksi positif dan sokongan terhadap mereka khususnya remaja berkenaan.

Mereka yang membanjiri ruang komen turut mengucapkan tahniah kepada anaknya selain mendoakan kejayaannya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.