
Demi menyelamatkan pesakit, sekumpulan doktor dan jururawat di Russia tetap meneruskan pembedahan jantung terbuka biarpun api sedang marak membakar bangunan hospital dalam kejadian di Blagoveshchensk.
Mereka enggan berganjak dari tempat masing-masing dan berusaha hingga berjaya menghabiskan prosedur pembedahan itu sebelum pesakit terbabit dipindahkan ke hospital lain.
Rakaman video insiden berkenaan turut menjadi viral di media sosial apabila ramai netizen memuji kakitangan hospital yang sanggup merisikokan nyawa mereka untuk pesakit.
Pesakit itu sedang menjalani pembedahan di tingkat satu hospital ketika kebakaran mula merebak di bumbung hospital, lapor 1TV.
Bagaimanapun, lapan anggota pasukan perubatan itu meneruskan prosedur walaupun sudah diberi amaran oleh anggota bomba.
“Tidak ada tempat yang boleh kami pergi dan lelaki ini harus diselamatkan. Kami cuba melakukan yang terbaik,” kata ketua jabatan pembedahan jantung, Valentin Filatov.
Menyedari pembedahan itu tidak boleh dihentikan, unit responder pertama menyambung kabel untuk membekalkan tenaga elektrik ke bilik pembedahan terbabit.
“Ketika asap mula masuk ke bilik pembedahan, peranti tekanan udara dibawa sebagai persediaan untuk doktor melakukan pembedahan kompleks itu,” kata Timbalan Ketua Direktorat Utama Kementerian Situasi Kecemasan, Persekutuan Russia di Wilayah Amur.
Menurut pihak berkuasa, kebakaran itu agak besar apabila 59 anggota bomba terpaksa dikejarkan ke lokasi untuk membantu memadam api.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu namun ia mengambil masa selama beberapa jam untuk mengawal api yang tercetus daripada kerosakan peralatan elektrik.
Lebih 120 orang terpaksa diselamatkan, membabitkan 67 pesakit termasuk mereka yang baru saja menjalani pembedahan jantung.
“Pesakit yang menjalani pembedahan itu dalam insiden kebakaran dilaporkan stabil tanpa sebarang komplikasi. Dia juga sudah sedarkan diri,” kata kenyataan Kementerian Kesihatan Wilayah Amur.
SeverInform melaporkan, Gabenor wilayah itu juga, Vasily Orlov turut mengumumkan pemberian ganjaran khas kepada semua doktor berkenaan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]