
Kita sering dihidangkan dengan pelbagai kisah penuh inspirasi Orang Kurang Upaya (OKU) yang sentiasa cekal dan tidak pernah kenal erti putus asa.
Di sebalik kekurangan yang ada, mereka dianugerahkan dengan kekuatan luar biasa untuk mengharungi segala dugaan dan cabaran hidup.
Begitu juga dengan sekumpulan wanita Palestin cacat pendengaran di Gaza yang cuba mengubah nasib hidup mereka dengan mempelajari kemahiran baru iaitu animasi gerak henti (stop motion animation).
Disebabkan keupayaan komunikasi yang terhad, mereka cuba menggunakan kaedah itu untuk menghasilkan filem pendek bertujuan meningkatkan kesedaran kanak-kanak mengenai golongan OKU cacat pendengaran.
Pada masa sama, mereka ingin menambah nilai diri untuk membuka ruang dalam bidang pekerjaan memandangkan kadar pengangguran di sana berada pada paras 49 peratus.
Mereka sebelum ini sudah menghasilkan dua filem pendek iaitu mengenai bahasa isyarat serta kesedaran terhadap hak mendapat pekerjaan di Gaza.
Kisah yang diceritakan dalam animasi menarik dan ringkas itu bertujuan memberi sumber inspirasi kepada orang normal untuk terus mengejar cita-cita biarpun berdepan dengan pelbagai situasi getir.
Proses menghasilkannya adalah begitu ringkas dan mereka hanya melukis watak dikehendaki pada kertas dan menghasilkan video menggunakan aplikasi animasi gerak henti pada telefon pintar.
Rakan mereka yang normal turut membantu menambah suara latar untuk melengkapkan lagi filem pendek berkenaan.
Salah seorang daripada mereka, Hiba Abu Jazar, 27, berkata, dia begitu meminati kartun ketika waktu kecil dan teruja untuk menghasilkan filemnya sendiri selain berharap kemahiran baru itu membolehkannya mencari pekerjaan.
“Saya tidak mahu bergantung dengan orang lain dan mempelajari kemahiran menghasilkan filem ini untuk menjana pendapatan. OKU cacat pendengaran tidak diberi pekerjaan dan tidak ada peluang untuk mencarinya,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]