
Usianya mungkin masih muda namun seorang kanak-kanak tempatan sudah pun memahat nama di negara asing dengan membuat sumbangan besar menerusi acara sukan berprestij tidak lama lagi.
Emma Lou, 10, bukan lagi dianggap sebagai kanak-kanak biasa tetapi dia kini cukup istimewa apabila diiktiraf sebagai pereka maskot rasmi Sukan Komanwel Birmingham 2022.
Maskot seekor lembu jantan comel bernama Perry adalah hasil rekaan Emma yang juga anak kacukan Malaysia-British berasal dari Bolton, Greater Manchester.
Dia cukup bertuah apabila dipilih daripada beratus peserta berusia lima hingga 15 tahun menerusi satu pertandingan mencipta maskot di peringkat kebangsaan.
Semua peserta dikehendaki menghasilkan maskot yang melambangkan sejarah, identiti dan budaya Birmingham.
“Saya berasa seperti berada di dalam mimpi! Saya rasa maskot ini nampak menarik dan comel.
“Saya amat teruja apabila maskot rekaan ini akan dilihat oleh ramai orang! Saya memilih lembu jantan kerana Bullring terletak di Birmingham dan penggunaan heksagon pula kerana ia adalah bentuk paling kuat dan dunia bergantung antara satu sama lain,” kata Emma.
Manakala penganjur berkata, bentuk heksagon pelbagai warna pada badan maskot terbabit menjadi simbolik perpaduan serta kepelbagaian komuniti di Birmingham dan West Midlands menerusi acara sukan itu.
Presiden Sukan Komanwel England, Denise Lewis berkata, dia tahu bahawa imaginasi kanak-kanak akan menghasilkan satu maskot yang unik dan memberi inspirasi seperti Perry ketika dia melancarkan pertandingan maskot tahun lalu.
Lewis yang juga pemenang pingat emas acara heptathlon wanita pada Sukan Olimpik Sydney 2000 berkata, dia menyertai banyak kejohanan besar dan maskot sentiasa mempunyai peranan penting untuk menghiburkan penonton.
Katanya, ia juga membantu memeriahkan suasana temasya sukan yang diadakan itu.
Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang akan menjadi temasya sukan terbesar pernah diadakan di United Kingdom dalam tempoh sedekad ini, bakal disaksikan lebih satu bilion penonton seluruh dunia.
Kali terakhir England menjadi hos bagi temasya sukan adalah di Manchester pada 2002 manakala Glasgow di Scotland pada 2014.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]