
Sistem pengangkutan inovatif dengan bas teknologi hijau bakal direalisasikan di Iskandar Malaysia dalam tempoh terdekat. Bas Rapid Transit Iskandar Malaysia (IMBRT) akan memulakan program ujian rintis selama tiga bulan bermula April ini.
Menurut Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim, Iskandar Malaysia juga akan menjadi bandar pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang menguji sistem Rapid Transit Automatik (ART) menerusi program ujian perintis itu.
Katanya lagi, IMBRT, merupakan projek yang akan mengubah landskap pengangkutan awam darat kerana mempunyai ciri-ciri inovatif termasuk penggunaan teknologi kenderaan pandu sendiri, bekalan tenaga elektrik serta reka bentuk bas yang futuristik.
Ia juga akan menjadi penyelesaian pengangkutan awam baharu di Malaysia, khususnya di Johor, selain mesra alam juga membantu ekonomi golongan sasar.
Menurutnya lagi, program rintis itu menjadi peringkat awal ujian bagi menentukan sistem kecekapan IMBRT yang mana projek ini dijangka dapat disiapkan sepenuhnya dalam tempoh dua tahun akan datang.
“Sembilan syarikat pengeluar bas akan terbabit dalam program rintis terdiri daripada syarikat tempatan dan antarabangsa, selain pembabitan agensi penguatkuasa dan pengawal selia lain,” katanya dalam taklimat media secara maya, hari ini.
Ismail berkata, projek IMBRT akan dimulakan pada suku keempat tahun ini selepas semua urusan termasuk reka bentuk dan juga proses pengambilan tanah selesai.
Kos pelaksanaan projek IMBRT adalah sekitar RM2.56 bilion yang dibiayai menerusi kerajaan pusat sebanyak RM1 bilion, manakala bakinya adalah menerusi kerjasama swasta-awam bernilai RM1.56 bilion.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]