Kesavan, antara penjual susu terakhir di Pulau Pinang

Kesavan, antara penjual susu terakhir di Pulau Pinang

Kesavan yang memiliki ladang tenusu di Balik Pulau masih gigih menghantar susu segar kepada pelanggannya di seluruh Pulau Pinang.

Kesavan Vanniyan adalah salah seorang daripada beberapa penjual susu yang masih ada di Pulau Pinang. (Gambar Tsen Ee Lin)
PULAU PINANG:
Waktu sudah menunjukkan jam 9 malam namun Kesavan Vanniyan masih gigih menunggang motosikal untuk menghantar susu segar ke rumah pelanggannya.

Seperti biasa, dia mencedok susu yang dibawa dalam tong keluli tahan karat, ke dalam plastik iaitu rutin sama yang dilakukan sejak 19 tahun lalu.

Kesavan menjual susu sejak 19 tahun lalu. (Gambar Tsen Ee Lin)

Biarpun kelihatan bersahaja, dia tidak mengambil masa terlalu lama untuk menyiapkan pesanan pelanggan, mungkin kerana sudah hampir dua dekad melakukannya.

Dia mungkin berusia 38 tahun tetapi Kesavan adalah salah seorang daripada beberapa penjual susu yang masih tinggal di Pulau Pinang.

Satu ketika dulu, penjual susu sering memenuhi beberapa jalan sibuk di segenap Georgetown namun kini keadaan semakin berubah apabila hanya terdapat beberapa penjual yang masih tinggal.

Kebanyakan daripada pelanggan terdiri daripada golongan berusia yang menjadi pelanggan tetap dan mempunyai hubungan rapat dengan penjual.

Menceritakan bagaimana ia bermula, Kesavan berkata dia menjual susu sejak 2002 dan memiliki sebuah ladang tenusu di Penang Waterfall.

Kesavan menuang susu ke dalam penutup yang berfungsi sebagai corong ke dalam plastik. (Gambar Tsen Ee Lin)

“Saya pernah mempunyai penjual susu sendiri yang datang mengambil bekalan setiap pagi di ladang tenusu. Bagaimana pun, disebabkan masalah tertentu, saya terpaksa berpindah ke ladang tenusu di Balik Pulau.

“Lokasinya yang agak jauh menyebabkan penjual susu terbabit berhenti,” katanya yang kini terpaksa melakukannya sendiri.

Dia tiada pilihan kecuali melakukan semua proses sendiri termasuk memerah susu hingga membungkus dan menghantar ke rumah pelanggan.

“Secara jujurnya, ia bukan perkara mudah kerana perlu melalui beberapa proses. Saya bernasib baik mempunyai seorang rakan yang baik hati dan begitu bersabar untuk mengajar melakukan proses ini. Sejak itu, saya menjadi penjual susu,” katanya.

Dia menjual 20 hingga 30 bungkus susu segar setiap hari. (Gambar Tsen Ee Lin).

Ketika ini, Kesavan mempunyai 15 ekor lembu dan memerah sendiri susu namun tetap mendapatkan bantuan daripada ladang tenusu milik rakan, N.S.G Freshmilk.

Rutinnya setiap hari bermula pada jam 5.30 petang sebelum melakukan penghantaran kepada pelanggan dengan menaiki motosikal ke sekitar Pulau Pinang.

Lokasi penghantarannya termasuk Balik Pulau, Bayan Baru, Bayan Lepas, Sungai Nibong, Sungai Dua, Batu Uban, Gelugor, Greenlane, Farlim, Air Itam, Jelutong, Sungai Pinang, Dato Keramat, Karpal Singh Drive, Macallum, Penang Market Street, Jetty dan Pulau Tikus.

Setiap bungkus susu berharga RM6. (Gambar Tsen Ee Lin)

Menurut Kesavan, dia mampu menjual sekitar 20 hingga 30 bungkus susu segar sehari.

Sebelum ini, dia menjual susu segar dalam bungkusan kecil pada harga RM4 manakala bungkusan besar pula RM5 tetapi kini harga terpaksa dinaikkan kepada RM6.

“Pandemik menyebabkan kenaikan harga makanan lembu dan sebab itu saya terpaksa menaikkan harga susu segar juga. Terdapat juga kos tambahan yang perlu ditanggung untuk ternakan ini serta ladang,” katanya.

Bagaimana pun, Kesavan berkata, dia melihat perniagaan itu semakin suram memandangkan hanya terdapat sepuluh orang penjual yang tinggal di Pulau Pinang.

Seperti kebanyakan orang, Kesavan juga turut terkesan dengan pandemik Covid-19 kerana pesanan pelanggan yang diterima semakin berkurangan namun dia tidak mahu berputus asa dan nekad meneruskan perniagaan itu.

Perniagaan Kesavan turut terkesan ketika pandemik. (Gambar Tsen Ee Lin)

“Ramai rakyat Malaysia mungkin sudah lupa mengenai kewujudan penjual susu. Semakin lama, kami semakin dilupakan dan ia agak sukar untuk saya terus mendekati pelanggan,” katanya.

Walaupun ia dikatakan sebagai perniagaan yang bakal lenyap namun kehadiran penjual susu bersama tong keluli mereka tetap segar di ingatan setiap warga Pulau Pinang.

Anda masih boleh mendapatkan susu segar yang dijual Kesavan dengan menghubunginya di talian 019 4320336 untuk membuat pesanan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.